Polis tahan tiga lelaki bersama 3,000 pil yaba

0
166

POLIS menahan tiga lelaki bersama 3,000 biji pil yaba dalam serbuan di hadapan sebuah rumah di Kampung Gertak Datok, Gunung, di sini, awal pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Bachok Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata kesemua mereka yang berusia 18 hingga 31 tahun itu, ditahan pada 1.30 pagi hasil risikan dan maklumat awam.

“Hasil pemeriksaan menemukan bungkusan berisi pil yaba berjumlah 3,000 biji dengan nilai keseluruhan rampasan dadah berjumlah RM45,250.

“Ujian saringan awal air kencing yang dilakukan mendapati, dua suspek positif dadah jenis morfin manakala seorang lagi negatif bahan terlarang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Ismail berkata tindakan diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, dengan menyita harta iaitu wang tunai dan dua buah kenderaan dengan anggaran keseluruhan nilai harta yang disita RM 55,000.

“Ketiga-tiga suspek direman selama tujuh hari mulai hari ini sehingga 1 Mac.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman mandatori iaitu gantung sampai mati,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here