Pelajar lakukan vandalisme rosakkan harta sekolah sudah dikenal pasti

0
275

IDENTITI sekumpulan pelajar merosakkan harta sekolah yang tular di media sosial sudah dikenal pasti.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya tidak sesekali berkompromi dengan perbuatan vandalisme serta keganasan yang dilakukan pelajar terbabit.

Katanya, pihak sekolah berkenaan sudah mengenalpasti identiti pelajar terbabit dan kini sedang menjalankan siasatan berhubung perkara itu.

“Perkara ini (kegiatan vandalisme) berada dalam pengetahuan pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD). Tindakan pertama sekolah adalah memanggil anak-anak ini (pelajar) dan ibu bapa mereka untuk siasatan.

“Berdasarkan video tular itu, saya tidak fikir ia satu perkara yang sepatutnya berlaku dan kita memang tidak berkompromi dengan tindakan-tindakan vandalisme dan keganasan.

“Untuk hal ini, bimbingan dan kaunseling juga difikirkan perlu diberikan kepada pelajar terbabit,” katanya ketika diminta mengulas berhubung video tular memaparkan perbuatan vandalisme yang dilakukan sekumpulan pelajar berkenaan, di Nibong Tebal hari ini.

Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal ditemui pemberita ketika hadir pada Majlis Bantuan Awal Persekolahan Kawasan Ahli Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Jawi, di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Nibong Tebal, hari ini.

Terdahulu tular di media sosial beberapa klip video berdurasi 28 dan 58 saat memaparkan sekumpulan pelajar lelaki merosakkan harta benda sekolah selepas tamat sesi persekolahan semalam.

Menerusi video itu, kumpulan pelajar yang dipercayai bersekolah di sebuah sekolah menengah di daerah Seberang Perai Selatan, di Nibong Tebal dilihat merosakkan peralatan sekolah seperti kerusi, kipas dan pintu tandas

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, beliau meminta orang awam tidak menularkan video itu dan menurunkannya dengan segera bagi menjaga serta memelihara identiti pelajar serta sekolah terbabit.

“Saya harap perkara ini tidak ditularkan dan berharap semua pihak dapat menurunkan video terbabit supaya kita dapat memberikan tumpuan untuk pemulihan kanak-kanak ini, khususnya kaunseling kepada mereka,” katanya.

Ketika ditanya berhubung kegiatan vandalisme dalam kalangan pelajar sekolah menjadi budaya, Fadhlina berkata, ia bukan suatu budaya sebaliknya wujud perkara lain yang mendorong pelajar itu bertindak sedemikian.

“Saya tak fikir itu budaya dan tak wajar pun dijadikan budaya. Dalam hal ini, saya fikir ada perkara lain yang menyebabkan mereka melakukan perbuatan itu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here