Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Radzi cadang akta halang PM jadi menteri kewangan -

Radzi cadang akta halang PM jadi menteri kewangan

AHLI Parlimen Perikatan Nasional (PN) mencadangkan satu akta diperkenalkan bagi menghalang perdana menteri memegang portfolio menteri kewangan.

Datuk Radzi Jidin (PN-Putrajaya) berkata, Malaysia perlu mengambil iktibar daripada skandal 1MDB, yang berlaku ketika perdana menteri keenam, Datuk Seri Najib Razak, menerajui kementerian itu.

Beliau juga menegaskan, apa yang disuarakan bukan bermaksud merujuk mana-mana individu tertentu tetapi berkenaan dengan sistem.

“Kita tak bercakap tentang Tambun (Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim), ini bukan soal individu.”

“Ini adalah tentang sistem. Kita perlu faham bahawa pemusatan kuasa boleh meningkatkan risiko salah guna kuasa kerana tidak ada semak dan imbang,” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, lapor FMT.

Beliau berkata, satu sistem tadbir urus negara yang utuh dan kukuh hendaklah diwujudkan bagi memastikan negara tercinta ini diwariskan kepada anak cucu dalam keadaan kewangan yang baik.

“Oleh yang demikian, saya mencadangkan agar diwujudkan satu akta menghalang perdana menteri untuk memegang jawatan sebagai menteri kewangan,” katanya.

Pada masa sama, Ahli Parlimen daripada Bersatu menyentuh pendirian pemimpin Pakatan Harapan yang selama ini “menikus” apabila Anwar melantik dirinya sebagai menteri kewangan.

Sebelum ini, gabungan PH mencadangkan supaya kedua-dua jawatan itu dipisahkan selepas skandal 1MDB.

Anwar dikritik oleh ahli politik pembangkang dan kumpulan masyarakat sivil kerana menamakan dirinya sebagai menteri kewangan.

Kebanyakan mereka berkata, Anwar melanggar ikrar PH dalam manifesto PRU14 untuk menghalang perdana menteri memegang jawatan itu.

Bagaimanapun, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mempertahankan Anwar dan berkata “keadaan luar biasa” menyebabkan perdana menteri mengambil alih portfolio itu.

Rafizi juga berkata, Anwar memainkan peranan untuk mengelakkan konflik dalam kalangan gabungan dan parti yang membentuk kerajaan perpaduan.