MAHKAMAH Tinggi Ipoh hari ini menangguhkan keputusan kes lima lelaki yang didakwa membunuh seorang lelaki pada lima tahun lepas, ke 22 Mac ini.
Pesuruhjaya Kehakiman Su Tiang Joo menetapkan tarikh baharu itu selepas peguam Charan Singh memohon untuk membuat representasi bagi kesemua anak guamnya kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) supaya keterangan-keterangan yang dikemukakan dikaji semula.
“Memandangkan pertuduhan dihadapi semua OKT (Orang Kena Tuduh) amat serius, mahkamah membenarkan satu penangguhan,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Saifulakmal Mod Said memaklumkan tiada bantahan berhubung permohonan pihak pembelaan daripada pihak pendakwaan dan satu nota taklimat AGC akan disediakan berkenaan representasi.
C. Kartik Krishnan, 24, V. Sivabalan, 24, J. Jaya Ganesh, 25, A. Arjun, 26, dan C. Sathis, 29, didakwa bersama-sama dalam mencapai niat bersama telah membunuh Chung Thian Keong yang berusia 54 tahun ketika itu.
Kesalahan itu dilakukan di tepi sungai berhampiran Kampung Baru Chenderong, Jalan Tanjung Tualang, Batu Gajah antara kira-kira 7 malam 17 Mei 2018 hingga kira-kira 7 pagi 18 Mei 2018.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman mandatori gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
— BERNAMA
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.