SAR anggota komando tumpu guna sonar

0
243

OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) anggota komando yang dikhuatiri lemas di perairan Pulau Undan, Selasa lepas diteruskan hari ini dengan menumpukan penggunaan sonar oleh Tim Ukur Medan dari Cawangan Operasi dan Persempadan Pusat Hidrografi Nasional (PHN).

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan Kepten Maritim Iskandar Ishak berkata operasi SAR mangsa, Lans Koperal Edrin Baintim, 25, yang memasuki hari keenam hari ini bermula kira-kira 7 pagi.

“Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga menggunakan khidmat pasukan Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK) untuk membantu selaman bagi pengesanan sonar yang berpotensi tinggi.

“Kawasan pencarian hari ini dipecahkan kepada empat sektor bagi aset di laut dan satu sektor bagi aset udara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pencarian turut menggunakan lima aset laut dan satu aset udara dengan kekuatan 189 anggota daripada pelbagai agensi.

“Setakat 10 pagi tadi ada beberapa tempat berpontensi yang dikesan tim sonar dan pasukan penyelam telah melakukan pencarian namun tiada apa-apa ditemukan dan masih meneruskan selaman.

“Orang ramai dan komuniti maritim yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh menyalurkan terus ke Pusat Operasi Maritim Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-387 6730 dan MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam bagi membantu operasi,” katanya.

Pada 7 Feb lepas, Edrin yang merupakan anggota Tentera Darat dipercayai daripada Rejimen Gerak Khas (Komando) dilaporkan hilang ketika menjalani latihan menyelam di 0.7 batu nautika barat daya Pulau Undan.

Mangsa dikatakan hilang ketika latihan eksesais ‘Pari Harimau’ kursus juruselam bersama enam pegawai dan 37 peserta kursus dari PULPAK Sungai Udang.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here