BERSATU serah mahkamah tentukan keputusan speaker

0
171

BERSATU akan memfailkan permohonan kepada mahkamah untuk memutuskan keabsahan empat kerusi Parlimen dimenangi empat wakil rakyatnya atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Tindakan itu dibuat berikutan keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul yang sebelum ini membenarkan empat wakil rakyat berkenaan mengekalkan kerusi Parlimen masing-masing.

Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, peguamnya sedang dalam proses untuk mengumpul dokumentasi yang diperlukan sebelum sedia dibawa ke mahkamah nanti.

“Ini sedang dilakukan oleh peguam yang dilantik dan akan dikemukakan dalam masa terdekat. Selepas siap proses pengumpulan dokumen ini, maka ia akan dikemukakan kepada mahkamah.

“Yang penting ia mesti diselesaikan melalui undang-undang kerana Presiden BERSATU sebelum ini tidak berpuas hati dengan keputusan Speaker Dewan Rakyat.

“Speaker Dewan Rakyat telah melakukan beberapa kekhilafan dan tidak melihat kepada fakta-fakta yang kami kemukakan. Jadi, satu-satunya cara ialah mendapatkan keputusan daripada mahkamah dan kami tiada halangan berhubung perkara ini.

“Ada yang cakap kes ini mungkin mengambil masa terlalu lama, tetapi tidak mengapa. Kami boleh minta dipercepat bagi kes-kes yang mustahak seperti ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Bulan lalu, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak berpuas hati dengan keputusan Johari yang didakwa telah membuat tafsiran khilaf berhubung kedudukan kerusi empat ahli Parlimen yang dimenangi pada PRU15.

Empat wakil rakyat terlibat adalah Datuk Armizan Mohd. Ali (Papar); Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi); Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang).

Muhyiddin berkata, Johari memutuskan bahawa mereka telah menyertai GRS pada 27 Oktober tahun lalu, sekali gus menyaksikan keahlian mereka dalam BERSATU gugur serta-merta pada waktu itu selaras dengan Fasal 10.2.3 perlembagaan parti tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here