BEKAS Ketua Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri Kelapan mempersoal langkah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Kesihatan membentangkan kertas putih perolehan vaksin Covid-19 sedangkan ia dilaksana secara teratur mengikut tatacara kewangan.
Datuk Dr Marzuki Mohamad berkata, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 2021 juga memutuskan perkara itu dilaksanakan mengikut ketetapan.
Beliau menyifatkan laporan PAC setebal 521 muka surat berhubung perolehan vaksin sebelum ini sebagai membuang masa, jika pembentangan kertas putih dilakukan sekali lagi.
“PAC mengesahkan perolehan vaksin telah dibuat secara teratur, Pengerusi PAC ketika itu ialah Ahli Parlimen DAP, Wong Kah Woh. Nurul Izzah Anwar juga adalah anggota PAC pada masa itu.
“Jadi, ke mana nak dibuang laporan PAC setebal 521 muka surat itu? Ini semua kerja buang masa,” katanya di Facebook.
Marzuki berkata, keputusan perolehan vaksin juga dibawa ke Jemaah Menteri untuk kelulusan sebelum ini, ketika era pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Katanya, dakwaan perolehan vaksin dibuat tanpa kelulusan Jabatan Peguam Negara juga menimbulkan persoalan.
“Keputusan perolehan vaksin telah dibawa ke Kabinet untuk kelulusan. Biasanya agensi-agensi berkaitan beri ulasan terlebih dahulu ke atas Memorandum Jemaah Menteri untuk perolehan vaksin.
“Saya percaya Jabatan Peguam Negara antara agensi yang beri ulasan. Itu hal keputusan Kabinet,” katanya.
Terdahulu, Anwar dilaporkan berkata, sebahagian perolehan vaksin Covid-19 tidak mengikuti peraturan dan ditandatangani menteri tanpa persetujuan Jabatan Peguam Negara.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.