Keahlian Bersatu naik mendadak

TIMBALAN Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memaklumkan parti itu menerima lebih banyak permohonan keahlian selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) berakhir.

Bekas Ahli Parlimen Tambun itu berkata ini disebabkan kerjasamanya dengan PAS yang telah diterima oleh orang ramai, terutama dalam kalangan pengundi etnik Melayu.

Beliau juga menjangkakan momentum itu akan berterusan sehingga pilihan raya negeri akan datang.

“Lebih banyak Bersatu ditekan, lebih banyak sokongan kita terima. Dengan apa yang berlaku, kita dapati jumlah untuk menjadi ahli bertambah,” kata­nya ketika dihubungi lapor Utusan Malaysia.

Perikatan Nasional (PN) memenangi 74 kerusi pada PRU-15, dengan PAS memperoleh 49 kerusi, jumlah kerusi tertinggi diperoleh mana-mana parti tunggal pada pilihan raya tersebut.

Sebagai perbandingan, DAP menang 40 kerusi, PKR (31), UMNO (26) dan Bersatu (25).

Terbaharu, Bersatu dikenakan tindakan pembekuan beberapa akaun oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke­rana menurut Ketua Pesuruhja­yanya, Tan Sri Azam Baki berkata, tindakan berkenaan bagi membantu siasatan ke atas wang yang disyaki daripada hasil haram.

Bagaimanapun Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya telah menghantar surat kepada SPRM untuk memohon supaya pembekuan akaun parti itu dapat dibatalkan.

Jelasnya, meskipun siasatan masih dijalankan ketika ini, namun, sekiranya tiada sebarang penyelewengan dan salah guna kuasa selepas disemak SPRM, akaun parti itu tidak perlu dibekukan.