Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Empat warga asing didakwa miliki kad pengenalan palsu dan milik individu lain -

Empat warga asing didakwa miliki kad pengenalan palsu dan milik individu lain

EMPAT warga asing termasuk seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan, di sini, hari ini, atas tuduhan memiliki kad pengenalan milik individu lain dan palsu.

Menurut kenyataan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pahang, kesemua individu berkenaan didakwa secara berasingan di Mahkamah Majistret 1 dan 2, di sini.

Dalam kes pertama, dua lelaki masing-masing warganegara Indonesia dan Filipina didakwa mengikut Peraturan 25 Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 di Mahkamah Majistret 1.

Tertuduh pertama, Tugiono Tukijan, 48, yang didakwa menggunakan kad pengenalan palsu mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Nurul Farahah Mohd Suah.

Sementara tertuduh kedua, Jukipli Jakisim, 40, mengaku bersalah dan dikenakan hukuman penjara satu tahun dari tarikh tangkapan iaitu 7 Februari lalu kerana memiliki kad pengenalan milik individu lain.

Dalam kes berasingan, seorang lelaki dan seorang perempuan masing-masing berketurunan Suluk turut didakwa di bawah peraturan sama di Mahkamah Majistret 2.

Tertuduh, Nasir Bara, 44, mengaku bersalah menggunakan kad pengenalan palsu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.

Tertuduh yang didakwa mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 kemudian dikenakan hukuman penjara lapan bulan selepas gagal membayar denda RM4,000.

Seorang lagi tertuduh, Sapina Hussin, 53, didakwa di bawah Peraturan 25(1)(o) kerana memiliki kad pengenalan bukan kepunyaannya dan dikenakan hukuman penjara lapan bulan dari tarikh sabitan.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa JPN Pahang, Shahzan Amir Salaki dan Mohd Jeffri Abdul Rashid manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Kesemua tertuduh ditahan dalam satu operasi terancang oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN Pahang di sekitar daerah ini lapor BH.