Bil elektrik naik: Hotel, peruncit tuntut moratorium

0
190

OPERASI hotel, taman tema, pusat beli-belah dan peruncit menyaksikan peningkatan 20 hingga 30% bil elektrik susulan langkah mengenakan surcaj 3.7sen/kWj kepada pengguna bukan domestik.

Dalam kenyataan bersama, tujuh pertubuhan peniaga berkata peningkatan ketara itu berlaku berbanding tahun sebelumnya, melibatkan penggunaan jumlah tenaga sama.

Menurut kenyataan itu, peningkatan mendadak bil tenaga dikatakan “tidak adil”, memandangkan sektor terbabit antara paling terkesan akibat pandemik Covid-19, selain perlu mematuhi pembayaran gaji minimum RM1,500.

“Justeru, kami secara ikhlas menggesa kerajaan menyediakan moratorium bagi tarif elektrik baharu ini kepada semua pengguna komersial hingga hujung 2023 demi memberi tempoh untuk kembali pulih.

“Tekanan berterusan terhadap perniagaan ketika Malaysia sedang merancakkan pelancongan menjejaskan kami kerana sukar beroperasi secara cekap.

“Kami berharap mendapat maklum balas menggalakkan tidak lama lagi dan sentiasa terbuka berunding bersama pihak kementerian demi kebaikan industri di Malaysia,” katanya.

Pertubuhan menandatangani kenyataan itu melibatkan Persatuan Pusat Beli-Belah Malaysia (PPKM), Persatuan Peruncit Bumiputera (BRO), Persatuan Taman Tema dan Pusat Hiburan Keluarga Malaysia (Matfa), Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA), Persatuan Rantaian Runcit Malaysia (MRCA) dan Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (Maho)

Terdahulu, Suruhanjaya Tenaga berkata, kos elektrik meningkat 45% kesan pertambahan harga arang batu, di mana Semenanjung bergantung tinggi kepada sumber itu.

Pada Mac tahun lalu, peruncit menggesa Putrajaya menghentikan surcaj elektrik dikenakan kepada pengguna komersial dan industri bermula 1 Feb 2022, kegagalan mengambil tindakan itu memaksa kos itu dipindahkan kepada pengguna, sekali gus menaikkan harga.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here