Terengganu negeri terbaharu dilanda banjir

0
182

Terengganu menjadi negeri terbaharu dilanda banjir apabila dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Kemaman pagi tadi yang menempatkan 28 mangsa.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan 25 mangsa daripada lapan keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Lembah Jabor manakala tiga mangsa daripada satu keluarga ditempatkan di Dewan Orang Ramai Kampung Air Putih.

Menurut laman web rasmi publicinfobanjir.water.gov.my menunjukkan hanya Sungai Tebak di Jambatan Tebak di Kemaman melepasi paras bahaya iaitu 18.79 meter (m).

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir meningkat mendadak dengan 4,230 mangsa daripada 1,240 keluarga yang ditempatkan di 21 PPS berbanding 1,360 orang daripada 353 keluarga malam tadi. 

Sekretariat JBPN melaporkan Kuantan mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 4,120 mangsa di 19 PPS manakala baki 110 mangsa berada di empat PPS di Pekan. 

Laman web rasmi publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan paras Sungai Belat di Sri Damai, Kuantan masih melebihi paras bahaya 5.94m dan Sungai Keratong di Rompin iaitu 23.72m.  

Di KEDAH, 26 mangsa banjir ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Agama Madrasah Insaniah Jangkang yang dibuka di Kulim pada 8 pagi ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kulim Kapten (PA) Amirul Aliff Ahmad berkata kesemua mangsa daripada lapan keluarga itu merupakan penduduk dari Kampung Padang Limau.

“Seramai 10 lelaki dewasa; tujuh wanita, enam kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak peremuan ditempatkan di PPS berkenaan selepas rumah mereka dinaiki air berikutan hujan lebat turun lebih dua jam (semalam) hingga menyebabkan tebing Sungai Kob runtuh.

“Setakat ini, keadaan cuaca mendung dan air sudah kembali surut. Walaupun tidak hujan, penduduk bimbang air dari Sungai Kob itu akan melimpah keluar kerana tebing sungai berkenaan pecah dan masih belum dibaiki,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pagi ini, jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan datang membuat penilaian untuk kerja baik pulih tebing sungai berkenaan.

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir sedikit meningkat kepada 163 mangsa setakat 8 pagi ini berbanding 155 mangsa pada 8 malam tadi susulan satu PPS dibuka di Sekolah Agama Pengkalan Batu, Mersing, membabitkan tujuh mangsa daripada satu keluarga.

Sementara itu, di daerah Batu Pahat seramai 130 orang daripada 34 keluarga masih ditempatkan di dua PPS dan di Segamat kekal dengan 26 orang daripada sembilan keluarga yang masih ditempatkan di sebuah PPS.

JPBN juga memaklumkan keadaan cuaca di semua daerah diramalkan cerah pagi ini kecuali Segamat yang dilaporkan hujan.

Sungai Bekok di Batu Pahat masih melepasi paras bahaya dengan bacaan 19.1m serta dua sungai di Segamat berada di paras amaran iaitu Sungai Lenik dengan 5.68m dan Sungai Kampung Awat dengan 18.07m.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here