PAS ada ramai calon mampu jadi MB Selangor

0
264

PAS mempunyai ramai calon berpengalaman dan berkemampuan diangkat sebagai calon menteri besar Selangor daripada Perikatan Nasional (PN) jika gabungan itu menang pada PRN akan datang.

Setiausaha PAS Selangor, Roslan Shahir, berkata demikian susulan kenyataan penganalisis bahawa Datuk Seri Azmin Ali antara calon menteri besar terbaik daripada gabungan itu.

Azmin menjadi menteri besar Selangor dari 2014 hingga 2018 sebelum dilantik sebagai menteri persekutuan.

Roslan berkata, ia terbukti apabila PAS yang menjadi sebahagian anggota pentadbiran kerajaan sebelum ini mempunyai enam Exco, selain timbalan speaker iaitu ADUN Bangi ketika itu Shafie Ngah yang berkhidmat dengan cemerlang ketika pentadbiran Azmin sebagai menteri besar.

Bagaimanapun, beliau berkata keputusan muktamad dalam melantik menteri besar adalah hak dan kuasa Sultan Selangor sepenuhnya.

“Sebagai komponen PN, PAS Selangor punya ramai calon berpengalaman dan berkaliber yang boleh dipertimbangkan sebagai calon MB sekiranya PN berjaya memerintah negeri ini.

“Apa pun keputusan muktamad lantikan MB Selangor adalah hak dan kuasa Sultan Selangor dan PAS menyerahkan kepada kebijaksanaan Tuanku,” katanya, lapor FMT.

Media sebelum ini melaporkan penganalisis politik Azmi Hassan berkata meskipun tewas pada PRU15 lalu, Azmin mempunyai kelebihan diketengahkan sebagai calon menteri besar Selangor daripada PN kerana mempunyai pengaruh dan kredibiliti berbanding pemimpin PN lain.

Sementara itu, Mujibu Muis dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berpandangan walaupun Azmin dilihat sebagai calon “paling layak” daripada PN, bebanan pemimpin Bersatu itu sebagai “pengkhianat” menjadi cabaran besar untuknya diterima semula pengundi di Selangor.

Pada PRU15 lalu, PN menawan enam kerusi Parlimen di Selangor iaitu Sabak Bernam, Sungai Besar, Hulu Selangor, Tanjong Karang, Kapar dan Kuala Langat. PH pula menang 16 kerusi Parlimen.

Di peringkat DUN Selangor, PAS yang merupakan sebahagian daripada PN hanya mewakili satu kerusi di Sijangkang, manakala Bersatu memiliki empat kerusi iaitu Azmin (Bukit Antarabangsa), Hilman Idham (Gombak Setia), Abdul Rashid Asari (Selat Klang) dan Adhif Syan Abdullah (Dengkil).

Mengulas lanjut, Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Yunus Hairi berkata keputusan siapa “poster boy” dan calon menteri besar bagi gabungan PN masih dalam perbincangan dan perkara itu dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat.

“Siapa calon MB kita belum putuskan kerana ia akan diputuskan di peringkat pusat. Kita kena bincang secara halus supaya ia menjadi keputusan terbaik,” kata naib pengerusi PN Selangor itu yang menjangkakan PRN akan diadakan sebelum Jun ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here