‘Orang lama’ Reformis pertikai keputusan Anwar lantik Nurul Izzah sebagai penasihat

0
192

SEORANG bekas ahli kumpulan pro-Anwar Ibrahim mengkritik langkah perdana menteri itu melantik anaknya, Nurul Izzah, sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan.

“Persepsinya mudah sahaja, dalam kalangan 32 juta rakyat, tidak adakah orang lain yang boleh menjadi penasihat perdana menteri?

“Kita ada Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, tidak cukup lagi?” soal bekas setiausaha Otai Reformis Abdul Razak Ismail.

Abdul Razak, yang kini setiausaha agung Parti Hijau Malaysia, mempersoalkan reaksi Pakatan Harapan (PH) jika Datuk Seri Najib Razak, melantik isterinya, Rosmah Mansor, sebagai penasihat ketika menjadi perdana menteri.

Katanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini terpaksa berdepan persepsi membelenggu pelantikan anak perempuannya itu.

Abdul Razak berkata, ketika menjadi ketua pembangkang, Anwar juga berdepan persepsi nepotisme ketika isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Nurul Izzah menjadi Ahli Parlimen.

“Kini, anda (Anwar) sudah dilantik menjadi perdana menteri dan persepsi itu masih sama,” katanya, lapor FMT.

Beliau berkata, Nurul Izzah yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, sebaliknya patut menyertai NGO untuk menasihati kerajaan pimpinan bapanya.

“Itu langkah lebih baik,” ujarnya.

Pelantikan Nurul Izzah dikecam pembangkang, kumpulan masyarakat sivil, kumpulan pemikir, malah pihak dalam PH sendiri.

Semalam, Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim menyifatkan pelantikan itu sebagai “sah di sisi undang-undang, namun salah dari segi moral”.

Pihak lain berkata, pelantikan terbabit berbaur nepotisme, selain mendakwa Nurul Izzah tidak layak memegang peranan itu walaupun mempunyai dua ijazah.

Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin mendesak Anwar menarik balik pelantikan itu yang dikatakan bertentangan dengan prinsip tadbir urus yang baik.

Malam tadi, bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin berkata, belum terlambat bagi Anwar untuk memperbetul kesilapannya sejak menjadi perdana menteri, termasuk berhubung pelantikan Nurul Izzah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here