Bersatu tuntut Anwar jelaskan berapa ramai lantikan rahsia dibuat

0
162

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menuntut agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim segera menyatakan berapa ramai lantikan rahsia telah dibuat dan siapa lagi yang dilantik secara senyap-senyap.

Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan turut meminta agar Anwar menjelaskan mengapa pelantikan anaknya, Nurul Izzah dirahsiakan.

“Selain itu Anwar juga mesti jelaskan apa bidang kuasa yang diberikan kepada Nurul Izzah.

“Kalau tidak kerana Nurul Izzah terlepas cakap, satu Malaysia termasuklah penyokong Pakatan Harapan (PH) tidak tahu mengenai pembohongan Anwar yang kononnya menentang kronisme, tetapi secara rahsia melantik anaknya sendiri sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, Malaysia sehingga kini melahirkan ramai pakar ekonomi dan kewangan tersohor tetapi tidak dipilih oleh Anwar.

“Kita ada anak Melayu, anak Cina, anak India, anak Kadazan, anak Iban dan pelbagai lagi. Tapi rupa-rupanya yang dipilih ialah anak Anwar. Untung jadi anak Papa.

“Apa juga alasan Anwar dah tak relevan. Hakikatnya Anwar mengamalkan nepotisme,” ujar beliau lapor Sinar Harian.

Tambah Wan Saiful, rakyat bukan mempersoalkan pro bono atau berbayar, tetapi mempertikaikan mengapa melantik anak sendiri.

“Rakyat pun tahu kuasa ‘Anak Perdana Menteri’ apabila dilantik sebagai penasihat rasmi, adalah kuasa yang besar.

“Rakyat persoalkan kuasa dan kedudukan yang diberi. Sama ada bergaji atau tidak adalah tidak relevan,” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here