BEKAS Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mengulangi pendiriannya untuk tidak akan merayu keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang memecatnya.
Bekas Menteri Kesihatan itu berkata tiada gunanya berbuat demikian kerana pihak yang mahu beliau keluar tetap kekal dalam parti.
“Saya tidak akan merayu, jika merayu bermakna merayu kepada entiti sama yang memecat saya serta merta. Saya sudah berbincang mengenai perkara ini dengan Noh (Tan Sri Noh Omar), bersama Shahril (Shahril Hamdan) apa gunanya merayu.
“Saya hanya mahu pertandingan secara terbuka untuk (dua) jawatan tertinggi susulan prestasi buruk UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu,” katanya ketika ditemubual dalam program Breakfast Grille bersama BFM pagi ini.
Jumaat lalu, Khairy dan Ahli MKT UMNO, Tan Sri Noh Omar menyertai senarai pemimpin UMNO terbaru yang dipecat daripada parti itu selepas bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa dan Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kasim.
Keputusan pemecatan itu dibuat pada MKT UMNO yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ketua UMNO bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan pula digantung keahliannya selama enam tahun.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam kenyataannya turut mengesahkan Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang, Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif juga digantung enam tahun, sementara Ahli MKT, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahaya diberi surat tunjuk sebab.
Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau bagaimanapun berkata, beliau tidak berdendam dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan masih menganggapnya sebagai rakan.
“Saya akan tetap menjadi rakannya walaupun jika beliau tidak lagi menganggap saya rakannya,” katanya.
Beliau juga menyambut baik kenyataan beberapa pemimpin parti yang bersuara mengenai keputusan pemecatannya itu.
“Saya berterima kasih kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang bercakap di dalam dan luar parti menyatakan tindakan yang di ambil tidak mengikut peraturan yang ditetapkan.
“Saya menghargai setiap kenyataan yang dibuat sama ada di dalam MKT mahu pun di luar oleh barisan kepemimpinan parti,” katanya.
Pada masa sama, beliau menyatakan keyakinan UMNO akan terus bergerak ke hadapan walaupun pemimpinnya dikenakan tindakan termasuk dipecat atau digantung parti.
“Lihat saja apa yang berlaku kepada UMNO walaupun ada pemimpin yang dipecat seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Saya mungkin tidak sehebat mereka tetapi parti akan terus bergerak walau siapa pun yang dipecat,” katanya.
Semalam, Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil, berkata Khairy dipecat atas tindakannya mendakwa ‘UMNO sesat’ ketika kempen PRU15 di Sungai Buloh, yang memberi kesan langsung terhadap sokongan pengundi di seluruh negara kepada UMNO.
“Dia tahu dia mungkin boleh menang di (Parlimen) Sungai Buloh dengan strategi ini tetapi ia sedikit sebanyak mengorbankan calon UMNO yang bertanding di tempat lain,” katanya.