Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Anggota polis dituduh lupus, bersubahat curi barang kes ketum -

Anggota polis dituduh lupus, bersubahat curi barang kes ketum

SEORANG anggota polis berpangkat Lans Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Pasir Puteh, hari ini atas dua pertuduhan melupuskan keterangan dan bersubahat mencuri barang kes berkait kesalahan ketum, 10 Jan lepas.

Tertuduh, Bob Fuzainey Hazoni, 41, didakwa bersama dua yang masih bebas, menyebabkan keterangan kes tersebut hilang dengan niat melindungi daripada hukuman undang-undang di stor barang kes Balai Polis Cherang Ruku, Pasir Puteh, antara jam 3 pagi hingga 4 pagi.

Dia didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Bob Fuzainey juga didakwa bersubahat bersama-sama dua lelaki yang masih bebas, mencuri di stor barang kes pada masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 457 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Asma’a Che Omar menawarkan jaminan RM20,000, manakala tertuduh yang diwakili peguam Ahmad ‘Adha ‘Amir Yasser Amri memohon jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya menjaga bapa yang menghidap komplikasi penyakit jantung dan menanggung empat anak berusia satu hingga 14 tahun.

Majistret Mohamad Nazri Abdul Rahim kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan sebutan semula kes pada 21 Mac depan.

Tertuduh membayar jaminan tersebut. 

— BERNAMA