SEORANG bayi lelaki berusia tiga bulan meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri di sebuah pusat asuhan kanak-kanak di Seksyen 15 Bandar Baru Bangi, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata bayi berkenaan disahkan meninggal apabila tiada sebarang tindak balas terhadap rawatan kecemasan diberikan selepas mangsa dihantar ke sebuah hospital swasta di sini.
Terdahulu, beliau berkata pihaknya dimaklumkan jururawat di hospital swasta terbabit jam 12.10 tengah hari tadi mengenai menerima bayi berusia tiga bulan itu dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Bayi berkenaan, katanya, dihantar ke hospital swasta berkenaan oleh pihak pengurusan sebuah pusat asuhan kanak-kanak di Seksyen 15 Bandar Baru Bangi.
“Rawatan kecemasan sudah diberikan kepada bayi berkenaan, namun tiada tindak balas sebelum mangsa disahkan meninggal dunia,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Mohd Zaid berkata, siasatan awal dilakukan mendapati bayi itu dihantar ibunya dalam keadaan sihat di pusat asuhan terbabit jam 7.15 pagi tadi.
Namun, katanya, bayi itu ditemukan tidak sedarkan diri oleh pihak pengasuh jam 10.30 pagi dan pemeriksaan pada tubuhnya tidak menemui sebarang kecederaan.
“Mayat bayi itu dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya.
Mengulas pusat asuhan, katanya, ia beroperasi sejak 2014 dan mempunyai lesen sah daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor.
“Hasil siasatan di lokasi kejadian mendapati tiada sebarang unsur kekerasan, namun disyaki terdapat unsur kecuaian menyebabkan kematian pada bayi terbabit.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Noor Hairul Anuar Shuhaimi di talian 012-3043034 bagi membantu siasatan,” katanya lapor BH.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.