Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Mangsa banjir jangan risau keselamatan rumah-KP Johor -

Mangsa banjir jangan risau keselamatan rumah-KP Johor

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

POLIS Johor hari ini memberi jaminan kepada lebih 5,000 mangsa banjir di negeri itu supaya tidak bimbang dengan keselamatan harta benda mereka di rumah selepas diarahkan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat yang memberi jaminan itu berkata, lebih 5,000 anggota polis sudah diarahkan di semua daerah untuk meningkatkan kawalan dan rondaan di kawasan kediaman terjejas bermula hari ini.

“Polis jamin keselamatan rumah-rumah ditinggalkan penduduk yang terpaksa berpindah ke PPS akibat banjir.

“Kita sudah mengarahkan semua polis khusus di daerah terjejas banjir untuk meningkatkan tahap keselamatan. Sebagai contoh di Kluang, anggota ditempatkan 24 jam di laluan-laluan utama demi menjaga keselamatan sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru hari ini.

Katanya, selain usaha menyelamat, pihak polis juga bertanggungjawab memastikan keselamatan rumah atau premis yang ditinggalkan tidak diceroboh mana-mana pihak.

Kamarul Zaman memberitahu, pihaknya akan meningkatkan jumlah keanggotaan dari masa ke semasa selain memastikan kerjasama erat antara agensi keselamatan yang terlibat dalam operasi ketika banjir ini.

Setakat pukul 12 tengah hari tad, mangsa banjir di Johor terus meningkat kepada 5,528 orang yang ditempatkan di 58 PPS.

Mereka yang terjejas terdiri daripada sejumlah 1,536 buah keluarga dan daerah yang terjejas akibat banjir ketika ini adalah Segamat, Mersing, Kluang, Kota Tinggi, Pontian, Muar dan Batu Pahat. – SB