PRN: UMNO Terengganu dalam dilema? semakin sukar hadapi PN!

0
134

Oleh MOHD LAZIM ENDUT

KEKALAHAN 0-8 Barisan Nasional (BN) Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) 19 November tahun lalu telah meninggalkan kesan amat mendalam kepada parti tersebut.

Ini kerana, pada pilihan raya itu buat pertama kalinya semua kerusi parlimen yang dipertandingkan termasuk dua kubu kuat milik mereka selama ini kecundang kepada Perikatan Nasional (PN).

Malah, tiada siapa menjangkakan Parlimen Besut dan Hulu Terengganu yang selama ini cukup sinonim dengan UMNO-BN akhirnya rebah dan tersungkur kepada PN.

Maka itu, banyak pihak termasuk pengalisis dan pemerhati politik di Terengganu menyifatkan kekalahan tersebut dianggap sebagai amat malang dan merupakan sejarah yang sukar dilupakan oleh UMNO-BN negeri ini.

Rata-rata berpendapat selain ‘gelombang hijau’, kebangkitan PN dan kehadiran pengundi muda 18 tahun, faktor lain yang menyebabkan parti berkenaan ditolak para pengundi ialah ‘rasa muak’ terhadap pemimpin UMNO di peringkat Pusat termasuk membabitkan soal pemilihan calon.

Ada yang mengatakan, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagai permulaan kebangkitan orang Melayu bersama PN dan momentum ini akan berterusan pula dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) melibatkan enam negeri, Terengganu, Kedah, Kelantan, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan dijangka pertengahan tahun ini.

Memandangkan UMNO-BN tidak pernah ‘kering isu’ membabitkan pemimpin atasan yang tidak cakna suara akar umbi, ramai berpendapat parti itu semakin sukar untuk merampas semula pentadbiran negeri ini daripada Pas-PN.

Antara isu tersebut termasuklah kerjasama parti itu dengan Pakatan Harapan (PH) yang melanggar prinsip No Anwar, No DAP, pemecatan orang lama dan juga usul Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

Tiga isu tersebut disifatkan sebagai ‘pintu’ perpecahan dalam parti tersebut kerana demi menjaga kepentingan individu tertentu menyebabkan suara demokrasi terpaksa ditutup rapat.

Dalam konteks Terengganu, isu-isu yang berlaku itu bakal menyebabkan UMNO-BN di negeri ini terus berada dalam dilema kerana terpaksa akur dengan kehendak kepimpinan atasan.

Mereka tahu bahawa dalam setiap pilihan raya, persaingan sengit hanyalah melibatkan parti Pas dan UMNO manakala lain-lain parti termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) bakal balik awal.

Ini bermakna, jika UMNO terus bekerjasama dengan PH dalam PRN nanti, tidak mustahil calon-calon UMNO juga akan balik awal sekaligus tewas di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Setakat ini sudah ada bibit-bibit kerisauan dalam parti itu sendiri sebaik Setiausaha UMNO Perhubungan negeri, Datuk Rozi Mamat menyatakan bahawa dalam agihan kerusi antara kedua-dua parti tersebut, PKR mungkin akan bertanding lebih 10 kerusi DUN di Terengganu.

Lalu beberapa veteran UMNO berpendapat, itu kerja gila!.

Kata mereka lagi, pengundi Terengganu sekarang tidak melihat kepada siapa calon, sebaliknya mereka memberi keutamaan terhadap parti.

Sebagai contoh, Datuk Raja Bahrin Shah Raja Ahmad pernah menang di kerusi Parlimen Kuala Terengganu atas tiket Pas, tetapi tewas di kerusi sama ketika mewakili Parti Amanah Negara (Amanah).

Begitu juga Mohd. Khairuddin Aman Razali pernah menang di kerusi Parlimen Kuala Nerus ketika bertanding mewakili Pas dan tewas di kerusi sama sewaktu mewakili UMNO.

Melihat kepada perkembangan ini, apakah UMNO masih tidak serik-serik lagi dan sanggup melihat pengundi terus berasa muak?

Atau adakah mereka sanggup dihukum dengan kehilangan semua kerusi DUN di negeri ini hanya semata-mata ingin menjaga hati serta menurut arahan pucuk pimpinan utama parti? – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here