Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Lima lagi PPS dibuka,mangsa banjir di Johor meningkat kepada 1,093 orang -

Lima lagi PPS dibuka,mangsa banjir di Johor meningkat kepada 1,093 orang

JUMLAH mangsa banjir di Johor terus meningkat kepada 1,093  orang setakat 4 petang ini berbanding 422 mangsa yang direkodkan pada pukul 2 petang tadi, susulan hujan lebat yang turun tidak henti-henti sejak awal pagi tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (PPBN) memaklumkan lima lagi pusat pemindahan sementara (PPS) baru dibuka menjadikan kesemuanya 13 PPS di Daerah Kluang, Segamat dan Kota Tinggi.

“Segamat merupakan daerah paling teruk terjejas dengan 975 mangsa daripada 273 keluarga, yang ditempatkan di lapan PPS.

Bagi Daerah Kluang pula, seramai 75 orang daripada 19 keluarga dipindahkan ke empat PPS sementara 43 penduduk daripada enam keluarga di Daerah Kota Tinggi dipindahkan ke sebuah PPS,” kata jawatankuasa itu dalam satu kenyataan, petang ini.

Menurut jawatankuasa itu juga, setakat ini tiada jalan yang ditutup di negeri ini dengan kesemuanya masih boleh dilalui oleh semua kenderaan.

Berdasarkan data Jabatan Pengairan dan Saliran, empat sungai di Johor telah melepasi paras berbahaya dengan trend menaik iaitu Sungai Muar (muara Sungai Gemas) berada di paras 19.04 meter (m), Sungai Lenik (Ladang Chaah) di paras 6.4m, Sungai Segamat (Segamat Kecil) di paras 37.97m dan Sungai Kahang (Kampung Contoh) di paras 14.41m.

— BERNAMA