Kebebasan bersuara bukan alasan hina kesucian Islam-Pas

0
160

KEBEBASAN bersuara diamalkan di Barat tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menghina kesucian agama Islam mahupun mana-mana agama lain.

Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar Pas Pusat, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, Pas mengecam sekeras-kerasnya tindakan biadab pemimpin parti politik sayap kanan Denmark Hard Line, Rasmus Paludan yang membakar al-Quran dan menyifatkannya sebagai ekstrem serta menghina kesucian agama Islam.

“Ini adalah amat tidak wajar untuk mana-mana individu dengan sewenang-wenangnya menghina agama lain terutama dalam bentuk provokasi seperti membakar al-Quran mahupun melukis karikatur berupa Nabi Muhammad SAW.

“Ia adalah satu tindakan yang amat rasis dan Islamofobia yang melampau, ia telah mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

“Di saat dunia berada di ambang ketidaktentuan, insiden seperti ini perlu dihalang agar tidak berlaku pertembungan antara agama yang mampu membawa kepada kesan yang amat buruk,” katanya menerusi satu hantaran dalam Facebook hari ini.

Kelmarin, Rasmus yang menyertai bantahan di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm, bertindak membakar al-Quran dengan pemetik api.

Dia bersama kira-kira 100 orang yang berhimpun itu berbuat demikian selepas Turkiye dilaporkan membantah keanggotaan penyertaan Sweden dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Dalam pada itu, Muhammad Khalil berkata, umat dan dunia Islam sewajarnya mengecam tindakan biadab itu yang telah mencemarkan kesucian agama Islam.

“Menjadi tanggungjawab setiap individu umat Islam untuk mempertahan dan membela agama Islam yang mulia ini daripada terus dihina dan dicemarkan kesuciannya,” katanya, lapor Sinar Harian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here