Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Beberapa lebuh raya ke ibu negara dijangka sesak petang ini -

Beberapa lebuh raya ke ibu negara dijangka sesak petang ini

BEBERAPA laluan lebuh raya menuju ibu negara dijangka sesak bermula petang Selasa sehingga tengah malam.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim berkata, antara lokasi dijangka sesak adalah Plaza Tol Gombak dari arah Pantai Timur dan Plaza Tol Sungai Besi dari arah selatan.

“Kesesakan juga dijangka di Lebuhraya Karak-Bentong, membabitkan laluan dari arah Plaza Tol Bentong menghala Gombak.

“Ia disebabkan pertambahan kenderaan dari arah Kelantan menuju Bentong serta dari arah Lebuhraya Pantai Timur (LPT), malah kesesakan turut bakal berlaku di laluan mendaki,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mat Kasim berkata, kawasan lain adalah di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) membabitkan laluan Slim River menghala ke ibu negara dan Changkat Jering ke Ipoh disebabkan pertambahan kenderaan dan juga laluan mendaki.

“Kita juga menjangkakan kesesakan di Lebuhraya ELITE, membabitkan laluan Shah Alam-Sepang-Nilai akibat pertambahan kenderaan,” ujarnya.

Beliau berkata, JSPT menjangkakan sebanyak dua juta kenderaan menggunakan Lebuhraya PLUS, manakala sebanyak 150,000 kenderaan menggunakan Lebuhraya Pantai Timur 1 dan 200,000 kenderaan menggunakan laluan Karak-Kuala Lumpur pada Selasa.

“Setakat ini berdasarkan rekod Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), sebanyak 1,181,805 kenderaan menggunakan Lebuhraya PLUS sehingga jam 12 tengah hari tadi, manakala 115,158 kenderaan menggunakan Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur,” katanya lapor Sinar Harian.