Pas tegas sumbangan orang awam tiada kaitan calon, wakil atau parti

0
41

SUMBANGAN orang awam yang disebut Tan Sri Abdul Hadi Awang tiada kaitan dengan calon, wakil atau parti itu sendiri.

Menjelaskan perkara itu, Ketua Penerangan Pas Pusat, Khairil Nizam Khairudin berkata, kenyataan Presiden Pas itu telah dipetik secara bercanggah dengan ucapan dan makna sebenar yang mahu disampaikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Merujuk kepada kenyataan Presiden UMNO (Ahmad Zahid) yang menyebut bahawa “Kalau dia (Pas) buat dipanggil sedekah, kalau kita (UMNO) buat dipanggil rasuah,” ternyata ia adalah suatu kenyataan yang jelas bercanggah dengan ucapan dan makna sebenar Presiden Pas.

“Sedangkan Presiden Pas ketika menjawab soalan media di Negeri Sembilan semalam menyebut bahawa, undang-undang pilihan raya tidak membenarkan calon dan wakil calon memberikan sumbangan kepada pengundi, tetapi jika ada individu atau orang awam yang hendak memberikan sumbangan, terpulang kepada mereka sendiri.

“Adapun sumbangan orang awam tersebut tiada kaitan dengan calon, wakil calon atau Pas sebagai sebuah parti yang bertanding,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Pada Ahad, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menasihati golongan ulama politik supaya tidak sesuka hati menukar hukum dan fatwa agama.

Katanya, tindakan itu boleh menyebabkan golongan tersebut tidak dihormati rakyat dan umat Islam sendiri.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendirian Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang mempertahankan pemberian wang tunai sewaktu kempen pilihan raya yang dikatakan tidak menyalahi peraturan, kerana mendakwa ia sedekah kepada pengundi oleh orang awam.

Kenyataan Abdul Hadi itu susulan tindakan UMNO Terengganu yang memfailkan petisyen bagi kerusi Parlimen Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman, dengan alasan wujud rasuah kepada pengundi di ketiga-tiga kerusi terbabit ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Mengulas lanjut, Khairul Nizam menegaskan, Pas tidak pernah mengamalkan sebarang bentuk politik wang atau sogokan rasuah kepada pengundi.

“Berbanding pihak lain yang terkenal dengan amalan politik wang sama ada dalam pemilihan parti mahupun pilihan raya dan tiada keabsahan moral untuk membangkitkan perkara ini,” ujarnya, lapor Astro AWANI.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here