Mangsa lemas kedua ditemui bomba di Pantai Batu Layar

0
270

MANGSA kedua yang dilaporkan hilang ketika mandi-manda bersama rakannya di Pantai Batu Layar, Kota Tinggi, Johor sejak semalam, ditemukan lemas petang tadi.

Mayat remaja lelaki berusia 16 tahun itu ditemukan terapung oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) sekitar jam 5.20 petang.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira 100 meter dari lokasi terakhir dia dilaporkan hilang.

“Keadaan fizikal mangsa ketika ditemui tidak menunjukkan sebarang tanda kecederaan dan mangsa lengkap berpakaian.

“Mayat mangsa telah dicamkan oleh ibu bapanya yang berada di lokasi sebelum dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk dibedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi SAR oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) itu ditamatkan pada jam 6 petang.

Menurut Hussin, usaha pencarian mangsa itu terdahulu menghadapi cabaran akibat keadaan laut yang bergelora selain cuaca yang mendung di perairan berkenaan.

“Situasi itu memaksa tindakan SAR dihentikan sementara pada 7.30 malam tadi sebelum disambung semula sejurus keadaan laut kembali reda kira-kira jam 8 tadi.

“Kaedah pencarian dilakukan secara visual dan dipecahkan kepada tiga pasukan penyelamat, manakala kawasan pencarian meliputi dua kilometer radius sepanjang pantai dan 0.5 sehingga 2.0 batu nautika sekitar kawasan mangsa didakwa hilang,” tambahnya lagi, lapor Astro AWANI.

Media sebelum ini melaporkan, seorang remaja berusia 17 tahun ditemukan lemas, manakala seorang lagi rakannya dilaporkan masih hilang di perairan berkenaan.

Dalam pada itu, Majlis Perbandaran Pengerang telah mengarahkan kawasan pantai Batu Layar ditutup bagi sebarang aktiviti buat sementara waktu sehingga esok.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here