Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Lelaki ditahan disyaki cuba seleweng diesel bersubsidi -

Lelaki ditahan disyaki cuba seleweng diesel bersubsidi

SEORANG lelaki yang disyaki cuba menyeleweng diesel bersubsidi ditahan bersama 4,000 liter bahan api itu, tangki dan sebuah lori yang kesemuanya dianggar bernilai RM56,500 dalam pemeriksaan di sebuah stesen minyak di Jalan Lebuhraya Butterworth-Kulim, Bukit Mertajam semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang S.Jegan berkata penahanan dilakukan selepas pihaknya mengesan sebuah lori lapan tan yang mencurigakan sedang mengisi diesel pada 4 petang.

“Semasa serbuan, seorang lelaki berusia 50-an yang juga pemandu lori itu sedang mengisi diesel dan pemeriksaan kami menemukan satu unit tangki besi khas berkapasiti 12,000 liter diletak di belakang kenderaan tersebut yang digunakan untuk mengisi serta mengumpul diesel bersubsidi dari stesen minyak.

“Hasil pemeriksaan menemukan 4,000 liter diesel bersubsidi dalam tangki besi tersebut dan berdasarkan siasatan awal, lelaki yang bekerja dengan sindiket penyelewengan diesel bersubsidi itu membeli bahan api berkenaan di beberapa stesen minyak sekitar daerah ini sebelum ia dijual semula kepada pihak lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jegan berkata sindiket itu dipercayai menjalankan kegiatan berkenaan sejak sebulan lepas dan mereka dipercayai menjual kepada pihak lain dengan harga lebih murah berbanding pasaran namun mahal berbanding diesel subsidi yang ditetapkan oleh kerajaan.

Beliau berkata pihaknya merampas lori, diesel, tangki besi, hos pam dan telefon bimbit yang kesemuanya dianggar bernilai RM56,500 untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

— BERNAMA