Filem Pulau: Pendakwah bebas kesal pelakon ambil ringan babak tak senonoh

0
496

PENDAKWAH bebas, Ustazah Asma’ Harun terkilan dengan tindakan sesetengah pelakon filem Pulau yang memandang ringan kewujudan babak yang disifatkan tidak senonoh dalam filem berkenaan.

Dalam satu entri di Facebook, Asma’ berkata kenyataan ‘menyelamatkan diri’ sebahagian pelakon yang mereka tidak terlibat dengan babak sedemikian bukan alasan kukuh kerana hasil keuntungan akan dikongsi bersama.

“Saya dimaklumkan ada dalam kalangan pelakon filem tersebut maklum akan wujudnya babak tidak senonoh tersebut tetapi bukan dirinya yang melakukan babak tersebut, sekiranya benar pun ia tetap dikira bersubahat. Hasil keuntungan daripada tontonan masih tetap diberi kepada semua pelakon.

“Jika dilihat dari aspek dosa dan pahala maka wajarlah filem ini dibatalkan sebelum tayangannya bulan Mac nanti, mudah-mudahan mereka terselamat daripada dosa yang berterusan,” tulisnya.

Beliau pada masa yang sama menyelar kenyataan sesetengah pihak bahawa menonton filem itu adalah pilihan sendiri dan mereka yang tidak suka, boleh memilih untuk tidak menontonnya.

“Sungguh saya terkejut apabila membaca respons yang diberikan oleh salah seorang pelakon filem tersebut. Tolong jangan ambil mudah tentang perkara yang terang-terangan merosakkan masyarakat khususnya generasi muda.

“Bukan semudah itu kita hanya pejam mata, tolong lihat sudut pandang yang lebih luas kerana industri filem ini ditonton oleh semua lapisan masyarakat.

“Jika budaya lucah sudah menjadi darah daging kanak-kanak seawal usia 5 tahun, adakah kita nak bertanggungjawab? Apatah lagi jika budaya jijik itu dilakukan oleh anak-anak kita sendiri?” soalnya.

Tambahnya, negara sudah membuktikan berjaya menghasilkan filem berkualiti tanpa perlu adanya babak yang mencetuskan kontroversi, dan ia harus dijadikan tanda aras untuk anak seni dan industri kreatif lebih berjaya di masa hadapan.

“Ramai penggiat filem negara telah berjaya menghasilkan filem berkualiti, mampu mendidik rakyat dan mendapat sambutan yang baik tanpa memaparkan babak tidak senonoh. Menjadi penerbit atau pengarah filem dan mempunyai sumber yang banyak bukanlah tiket untuk melakukan apa sahaja yang diingini.

“Buat para penggiat seni, saya nasihatkan jika kalian ingin berjaya dalam industri ini, hidangkan karya yang menjaga sensitiviti budaya dan agama serta sarat dengan mesej yang baik kepada masyarakat.

“Kalian bukan sahaja berjaya membawa perubahan ke dalam jiwa orang ramai bahkan turut didoakan dan mendapat pahala yang mengalir sampai bila-bila,” katanya lapor Astro AWANI.

Terdahulu, filem Pulau yang bakal ditayangkan 9 Mac depan menerima kecaman pelbagai pihak yang menggesa LPF mengkaji semula kelulusan yang diberikan.

Pada Selasa, media melaporkan tayangan treler filem bergenre seram itu mencetuskan kontroversi kerana didakwa mengandungi adegan panas dan lucah.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil juga berpandangan treler itu tidak sesuai ditayangkan kerana dipercayai melibatkan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).

Pada Khamis, LPF memaklumkan tayangan treler filem tersebut di media sosial adalah di luar bidang kuasa mereka, dan menegaskan Pulau bukan filem porno seperti yang digembar-gemburkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here