Dua warga Myanmar maut rempuh lori di Gua Musang

0
173

DUA penjual sayur warga Myanmar maut, manakala dua lagi cedera apabila kenderaan yang dinaiki mereka merempuh sebuah lori yang sedang berhenti di bahu jalan di KM16 Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, Pahang berhampiran Lepan Tupai, kira-kira pukul 6.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata kedua-dua mangsa iaitu Monir Ahmad Goni Ahmad, 47, dan Umar Habibah, yang belum diketahui umurnya, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah pada bahagian kepala.

Katanya, siasatan awal mendapati kenderaan jenis Cherry yang dinaiki mangsa dari Kuala Lumpur menuju ke Kota Bharu merempuh bahagian belakang sebelah kanan lori jenis Isuzu yang sedang berhenti di bahu jalan untuk berehat.

“Perlanggaran terbabit menyebabkan kenderaan Cherry remuk teruk pada bahagian sebelah kiri sehingga menyebabkan dua penumpang kereta itu meninggal dunia di lokasi kejadian. 

“Pemandu dan seorang lagi penumpang yang kedua-duanya juga warga Myanmar di dalam kereta terbabit mengalami kecederaan pada kepala dan patah kaki kanan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut, Sik berkata pemandu dan kelindan lori pula tidak mengalami sebarang kecederaan dan kesemua mangsa yang terlibat dibawa ke Hospital Gua Musang untuk proses selanjutnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian, katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here