Polis tahan pemandu lori didakwa punca kemalangan maut babit enam kenderaan

0
157

POLIS menahan seorang pemandu lori yang didakwa menjadi punca kemalangan maut melibatkan enam kenderaan di susur kiri Kilometer 6.1 Lebuhraya Persekutuan dari arah Shah Alam menghala ke Klang pada 7.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP S. Vijaya Rao berkata siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah lori melanggar lima kereta yang berhenti di susur lampu isyarat dan menyebabkan kesemua kenderaan bergerak ke hadapan serta melanggar satu sama lain.

Beliau berkata semua kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu datang dari arah sama dan berada di lorong susur kiri menghala ke Lebuhraya Selat Klang Utara.

Katanya seorang penumpang kereta di kedudukan paling belakang maut di lokasi kemalangan akibat tersepit di dalam kenderaan dan mayatnya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.

“Dua penumpang dalam kenderaan sama dibawa ke Hospital Shah Alam di sini untuk menerima rawatan lanjut akibat kecederaan di kepala manakala pemandu lain tidak mengalami sebarang kecederaan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Vijaya Rao berkata pemandu lori itu ditahan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi membantu siasatan dan mengenal pasti punca sebenar kemalangan.

Media sebelum ini melaporkan pihak bomba berjaya mengeluarkan seorang lelaki warga Indonesia yang maut akibat tersepit di dalam kenderaan manakala dua lagi yang cedera parah telah dibawa keluar oleh orang awam.  

–BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here