PENEROKA Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di daerah ini, khususnya di Bukit Tongkat dan Ulu Belitong tertekan apabila tanaman kelapa sawit yang menjadi sumber pendapatan utama mereka musnah akibat serangan gajah.
Seorang peneroka di Felda Bukit Tongkat, Mohd Isa Murah, 63, mendakwa serangan haiwan liar itu di kawasan ladang pertanian Felda kerap berlaku sejak awal tahun lepas.
Mohd Isa berkata kejadian terbaharu pada Selasa lepas menyebabkannya kerugian puluhan ribu ringgit apabila 300 pokok kelapa sawit yang ditanam di tanah berkeluasan empat hektar rosak akibat serangan mamalia itu.
“Selain saya, Felda ini mempunyai kira-kira 700 peneroka mengusahakan tanaman sawit meliputi kawasan seluas kira-kira 8,000 ekar (3,237 hektar). Tanaman mereka juga kerap diserang gajah sejak kebelakangan ini,” katanya kepada pemberita di Felda berkenaan hari ini.
Mohd Isa berkata dia kini buntu sama ada mahu menanam semula kelapa sawit atau sebaliknya kerana bimbang tanamannya diserang gajah pada masa akan datang.
Menurutnya serangan pada Selasa lepas mengakibatkan kemusnahan besar berbanding sebelum ini kerana haiwan itu hanya merosakkan beberapa pokok dan meninggalkan kawasan itu jika bertembung dengan manusia.
“Kini saya terpaksa berjaga malam hingga awal pagi bagi memastikan baki 200 pokok kelapa sawit tidak musnah. Apatah lagi untuk menggantikan tanaman yang rosak memerlukan modal besar selain memakan masa untuk mendapatkan hasil,” katanya.
Seorang lagi peneroka, Hamdan Montel, 70, berharap pihak berkaitan dapat mengambil tindakan sewajarnya kerana peneroka bukan sahaja mengalami kerugian malah berdepan risiko keselamatan apabila gajah liar tidak takut dengan kehadiran manusia.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kahang R. Vidyananthan berkata serangan gajah dipercayai berlaku kerana terdapat penanaman semula tanaman sawit di beberapa kawasan dan pihaknya telah memberi cadangan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) termasuk membina pagar elektrik serta parit bagi mengatasi ancaman.
Sebelum ini, tular rakaman video berdurasi 26 saat menerusi media sosial yang memaparkan dua ekor gajah memasuki kediaman di Taman Perdana di sini.
Semalam, Pengarah Perhilitan Johor Aminuddin Jamin dilapor mengesahkan kejadian yang berlaku Rabu lepas itu dipercayai kerana dua ekor gajah tersebut terpisah daripada kumpulannya dan tindakan menghalau mamalia berkenaan ke hutan yang terletak kira-kira 500 meter dari kawasan perumahan itu telah dilakukan.
Beliau juga dilapor berkata pemantauan akan terus dilaksanakan menggunakan dron bagi memastikan gajah tersebut kembali ke habitat asal serta tidak tersasar memasuki kawasan penempatan.
— BERNAMA
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.