Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
TH akan utamakan bakal jemaah bermula tahun 2020 -

TH akan utamakan bakal jemaah bermula tahun 2020

LEMBAGA Tabung Haji (TH) akan mengutamakan bakal jemaah haji untuk tahun 2020, 2021 dan 2022, yang masih menunggu giliran disebabkan pandemik COVID-19 untuk musim haji tahun ini, sebelum diikuti bakal haji giliran tahun 2023.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata ini berdasarkan sistem pendaftaran haji berasaskan prinsip yang dahulu didahulukan dan TH akan mengeluarkan surat tawaran bagi menunaikan haji tidak lama lagi.

“TH menyambut baik keputusan Kerajaan Arab Saudi untuk memberi kuota penuh sebanyak 31,600 kepada Malaysia untuk musim haji tahun 1444H/2023M. TH juga telah dimaklumkan bahawa tiada had umur bagi mengerjakan rukun Islam kelima bagi musim haji tahun ini berbanding had 65 tahun yang dikenakan untuk musim haji tahun lepas.

“TH telah memulakan persiapan awal sebaik sahaja tamat operasi musim lalu untuk membuat beberapa penambahbaikan bagi mengekalkan mutu perkhidmatan dan memastikan keselamatan dan kesihatan jemaah sentiasa terjamin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya rayuan haji melalui platform atas talian THiJARI juga akan dibuka dan tarikhnya akan diumumkan TH dalam masa terdekat.

“Pemilihan rayuan haji adalah berpandukan kriteria tertentu dengan rayuan mahram akan diberikan keutamaan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan bakal jemaah haji untuk menghadiri kursus asas haji anjuran TH selama 13 minggu bermula 25 Nov 2022 sehingga 17 Feb 2023, sebagai persediaan melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan berkaitan ibadat haji serta mendapat gambaran suasana terkini di tanah suci.

Katanya TH mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi atas kuota penuh yang menunjukkan keberkesanan langkah-langkah keselamatan yang diambil Arab Saudi untuk menangani pandemik COVID-19 pada tahun-tahun sebelumnya. – BERNAMA