Bekas pengurus kanan syarikat didenda RM222,000 gagal lapor rasuah

0
270

SEORANG bekas pengurus kanan syarikat pembinaan didenda RM222,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini atas empat pertuduhan gagal melaporkan tawaran dan pemberian suapan kepada pihak berkuasa.

Hakim Rozilah Salleh menjatuhkan hukuman itu terhadap Chua Shiou Meng, 51, selepas lelaki itu mengekalkan pengakuan bersalah terhadap semua pertuduhan. Hari ini ditetapkan untuk pendengaran fakta kes dan jatuh hukum selepas tertuduh mengaku bersalah pada Disember tahun lepas.

Rozilah menjatuhkan hukuman denda masing-masing RM20,000, RM100,000, RM100,000 dan RM2,000 bagi pertuduhan pertama hingga keempat dan memerintahkan tertuduh dipenjara 22 bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan. Dia membayar denda itu.

Beliau juga menasihatkan tertuduh supaya insaf dan tidak mengulangi kesalahan rasuah dan jenayah lain. 

Bagi dua pertuduhan, Chua telah ditawarkan wang suapan berjumlah RM10,000 dan diberikan wang suapan menerusi akaun bank miliknya berjumlah RM140,000 daripada seorang lelaki berumur 42 tahun.

Mengikut dua lagi pertuduhan, Chua telah diberikan wang suapan berjumlah RM75,700 daripada seorang lelaki berumur 48 tahun menerusi akaun bank milik isterinya dan turut ditawarkan suapan berbentuk komisen 50 sen per meter padu setiap bulan daripada seorang lelaki berumur 55 tahun.  

Kesemua tindakan itu dilakukan sebagai dorongan untuk tertuduh agar tidak memberikan laporan prestasi kerja yang kurang baik dan boleh menyebabkan dua kontrak dibatalkan.

Chua melakukan kesalahan terbabit di dua restoran dan sebuah bank di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur antara Jan 2017 hingga Jan 2019. 

Dia melakukan kesalahan yang melanggar peruntukan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kerana gagal melaporkan tawaran suapan itu kepada SPRM atau pegawai polis berhampiran serta telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) akta sama.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, peguam mewakili tertuduh Datuk N. Sivananthan memohon hukuman ringan atas alasan Chua telah insaf serta memohon maaf atas perbuatannya dan anak guamnya yang menyara keluarga juga baru sahaja mendapat pekerjaan setelah dipecat 24 jam oleh syarikat lama.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Muaz Ahmad Khairuddin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman dengan mengambil kira kepentingan awam dan mengatasi kepentingan individu. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here