Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Kadar hotel melambung, harga pakej umrah naik saat akhir -

Kadar hotel melambung, harga pakej umrah naik saat akhir

PERSATUAN Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) menjelaskan harga pakej umrah dinaikkan pada saat akhir berpunca kenaikan mendadak kadar hotel di Mekah dan Madinah.

Menurut Naib Presiden Haji dan Umrah Matta, Azri Abd Razak, keadaan itu menyebabkan harga pakej yang ditetapkan terpaksa dinaikkan pada saat akhir oleh agensi pelancongan sebelum jemaah umrah berlepas ke tanah suci.

“Kenaikan harga ini dipercayai berpunca daripada permintaan tinggi di hotel terutamanya di Kota Madinah berikutan peningkatan jumlah jemaah umrah di seluruh dunia apabila kerajaan di negara masing-masing membuka sempadan selepas situasi pandemik Covid-19 beransur pulih.

“Bukan harga hotel sahaja yang meningkat, malah harga pengangkutan dan tiket penerbangan juga semakin membebankan khususnya ketika musim kemuncak,” katanya dalam kenyataan.

Azri tampil menjelaskan situasi berkenaan susulan kecelaruan dan ketidaktentuan ketika ini apabila jemaah umrah mendesak menurunkan kadar pakej umrah dengan mengekalkan harga ditawarkan agensi pelancongan masing-masing.

Katanya, agensi pelancongan juga berdepan kesukaran mendapatkan pengesahan tempahan walaupun sudah menjelaskan bayaran penuh kepada pihak hotel.

“Kenaikan harga mendadak oleh pihak hotel juga membuatkan agensi pelancongan tersepit dan tiada pilihan selain menaikkan harga pakej terhadap jemaah umrah,” katanya.

“Dengan keadaan dan kecelaruan yang berlaku sekarang, Matta meminta agar semua jemaah umrah bersabar dan memahami situasi ketidaktentuan yang berlaku di Madinah dan Mekah,” katanya.

Selain itu kata Azri, Matta juga menerima aduan mengenai kesulitan membawa pulang air Zam-Zam oleh jemaah umrah, terutamanya di lapangan terbang Jeddah dan perkara itu sudah dimaklumkan kepada Saudi Tourism Authority (STA).

“Matta berharap dapat mengadakan pertemuan bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) untuk berbincang dan menangani isu ini agar pihak jemaah tidak menyalahkan agensi pelancongan sepenuhnya terhadap keadaan yang berlaku di Madinah dan Mekah dari sudut aspek kenaikan harga hotel, pengangkutan dan tiket penerbangan,” katanya lapor FMT.