Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
KKM mula inisiatif label ubat mesra OKU penglihatan -

KKM mula inisiatif label ubat mesra OKU penglihatan

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) telah memulakan inisiatif Label Ubat Mesra Orang Kurang Upaya (OKU) Penglihatan bagi membantu golongan itu dalam urusan pengambilan ubat di fasiliti kesihatan.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata label itu diwujudkan bagi memudahkan OKU penglihatan mendapat maklumat mengenai ubat dan preskripsi  secara cepat dan tepat.

“Label ubat yang diberikan kepada pesakit OKU penglihatan akan mempunyai tulisan Braille bagi menjelaskan cara pengambilan atau dos seperti dua atau tiga biji sehari.

“Label tersebut turut mempunyai indikasi yang menerangkan kegunaan ubat seperti demam, batuk atau selesema,” katanya pada majlis pelancaran inisiatif berkenaan sempena Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 di sini, hari ini.

Beliau berkata seramai 55,000 OKU penglihatan bakal menerima manfaat daripada pelaksanaan inisiatif tersebut yang akan dilaksanakan di 250 klinik kesihatan di seluruh negara.

Beliau berkata inisiatif tersebut juga merupakan peluasan kepada Program Kenali Ubat Anda bagi menyokong Malaysian Patient Safety Goals 2.0 di bawah Medication Safety: Medication Without Harm.

Menurutnya, Malaysia merupakan antara negara terawal di rantau Asia melaksanakan inisiatif berkenaan, yang turut mencerminkan kesungguhan dan keprihatinan kerajaan untuk memastikan OKU penglihatan mendapat hak menerima maklumat tepat dalam urusan pengambilan ubat secara selamat.

Pelaksanaan inisiatif itu juga dapat meningkatkan imej negara di persada antarabangsa selaras dengan Konvensyen Mengenai Hak OKU dan Akta Orang Kurang Upaya 2008, katanya.

— BERNAMA