Pencuri kasut, selipar di Batu Pahat tumpas

0
278

POLIS Daerah Batu Pahat, berjaya merampas kasut serta selipar pelbagai jenama bernilai RM7,000 yang dipercayai merupakan barangan curi, susulan penahanan seorang lelaki di Sri Gading, Batu Pahat, Johor pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, lelaki berusia 36 tahun itu ditahan sekitar 4 pagi, dengan bantuan tiga pengawal keselamatan di kawasan perumahan berkenaan.

Katanya, ketika ditahan, polis turut merampas 12 pasang kasut di dalam kenderaan dipandu lelaki tersebut yang turut dipercayai merupakan kenderaan yang baru dicurinya.

“Sejak awal tahun, IPD Batu Pahat telah menerima 21 laporan kehilangan kasut yang berlaku di sekitar daerah ini, khususnya di kawasan Yong Peng yang menimbulkan kegelisahan masyarakat.

“IPD Batu Pahat telah meningkatkan rondaan taman-taman perumahan serta meminta penduduk segera menghubungi pihak polis jika ada yang mencurigakan,” katanya pada Selasa, lapor Sinar Harian.

Beliau menjelaskan, tindakan susulan yang dibuat telah berjaya merampas 125 pasang kasut dan 24 selipar pelbagai jenama di rumah suspek di Jalan Labis, Yong Peng.

“Siasatan awal juga mendapati saspek menjual kasut dan selipar yang dicurinya di pasar tani di kawasan Parit Yaani, Batu Pahat,” kata beliau.

Katanya, siasatan mendapati lelaki berkenaan merupakan suspek yang dikehendaki di IPD Alor Gajah atas kesalahan Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 dan mempunyai lima rekod jenayah.

Bagaimanapun, ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki berkenaan didapati negatif dadah.

Ismail memberitahu, suspek telah direman selama empat hari sehingga Rabu dan kes disiasat bawah Seksyen 457 serta 379 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Ismail berkata, pihaknya percaya penangkapan suspek telah berjaya membantu menyelesaikan kes-kes kecurian kasut dan selipar di daerah Batu Pahat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here