Bicara bela diri Siti Bainun kekal 5 Jan

0
143

PERBICARAAN bagi pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali membela diri atas pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella, akan berjalan seperti dijadualkan bermula 5 Jan depan.

Menurut peguamnya, Nurul Hafidzah Hassan, berkata anak guamnya tidak mempunyai tarikh pembedahan selepas diberi sijil cuti sakit (MC) akibat masalah kesihatan yang dihadapi sebelum ini.

“Tarikh prosiding itu terpaksa diteruskan sebab tiada tarikh pembedahan. Pembelaan bersedia untuk prosiding itu, namun tak tahu jika Siti Bainun sihat atau sebaliknya pada masa itu.

“Mengikut undang-undang, Siti Bainun kena hadir dalam prosiding bela diri. Dia yang akan memberi keterangan dahulu,” katanya, menurut laporan Berita Harian.

Mahkamah Sesyen pada 9 Disember lalu menetapkan tarikh baharu perbicaraan bela diri itu selama 25 hari iaitu 5, 6, 16 hingga 20, 26 dan 27 Januari (sembilan hari) diikuti 20 hingga 24, 27 dan 28 Februari (tujuh hari) dan 6 hingga 10, 27 hingga 30 Mac (sembilan hari).

Siti Bainun sebelum ini disahkan diberi MC selama 22 hari berakhir 19 Disember lalu akibat masalah kesihatan.

Dia dijangkiti bakteria yang memerlukan pengambilan antibiotik selama 15 hari sebelum menjalani pembedahan hempedu hasil prosedur perubatan diagnostik atau endoskopi dan ujian darah di hospital.

Pada 24 November lalu, dia diarahkan membela diri terhadap pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari hingga Jun 2021.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh perbicaraan untuk membela diri awal bulan ini dan lima saksi pembelaan akan dipanggil bagi memberi keterangan termasuk Siti Bainun.

Pada 28 Oktober lalu, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 22 saksi pada perbicaraan kes itu yang bermula 30 Mac lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here