Pengunjung Bukit Bendera terkandas hampir tiga jam

0
154

PERBADANAN Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) memohon maaf kepada ratusan pengunjung yang terkandas di pusat peranginan tersebut pada Ahad.

Dalam kenyataannya, PBBPP menyatakan kekesalannya selepas perkhidmatan funikular di Bukit Bendera mengalami gangguan pada jam 4 petang.

Kata kenyataan itu lagi, hasil siasatan mendapati, berlaku kebocoran pada hos brek trek menyebabkan perkhidmatan funikular tersebut dihentikan.

“Kejadian berlaku pada jam 4 petang tadi (Ahad) namun perkhidmatan funikular kembali beroperasi seperti biasa pada jam 6.45 petang,” katanya lapor Sinar Harian.

Kata PBBPP, pihaknya berterima kasih kepada Persatuan Penduduk Bukit Bendera dan polus yang pantas menghulurkan bantuan kepada pengunjung ketika kejadian tersebut.

“PBBPP berterima kasih kepada semua pengunjung atas kesabaran mereka terhadap gangguan perkhidmatan. PBBPP juga amat menghargai usaha Persatuan Penduduk Bukit Bendera yang menyediakan perkhidmatan jip, perkhidmatan bas dan polis atas tindakan pantas dalam menangani situasi kecemasan yang berlaku tadi.

“PBBPP kesal dengan kejadiaan yang berlaku dan memohon maaf di atas segala kesulitan yang dialami. Kita amat menghargai kefahaman dan sokongan penduduk serta pengusaha perniagaan,” kata PBBPP lagi.

PBBPP turut menegaskan bahawa pihaknya amat menitikberatkan dan mengutamakan perkhidmatan funikular dan keselamatan penumpang.

Sebelum itu, tular di media sosial klip video serta hantaran oleh pengunjung yang merungut berhubung masalah perkhidmatan funikular di Bukit Bendera.

Daripada hantaran yang dibuat, dilihat ratusan penumpang terkandas di stesen bawah serta di puncak bukit tersebut akibat gangguan tersebut.

Meninjau pada beberapa komen mendapati, kebanyakkan pengunjung merungut mengenai perkhidmatan tersebut yang didakwa kerap berlaku, malah ada yang berkongsi pengalaman mereka terkandas di pusat peranginan tersebut sebelum ini.

Untuk rekod, perkhidmatan funikular Bukit Bendera pernah beberapa kali mengalami gangguan sebelum ini sehingga menyebabkan ratusan pengunjung terkandas di pusat peranginan tersebut.

Masalah itu bagaimanapun telah ditangani segera oleh PBBPP dan perkhidmatan funikular tersebut kembali beroperasi seperti biasa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here