KETUA Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani mengumumkan misi mencari dan menyelamat (SAR) tragedi tanah runtuh di Father’s Organic Farm di sini, ditutup secara rasmi pada jam 12 tengah hari ini.
Beliau berkata, misi itu ditamatkan selepas pasukan SAR merumuskan tiada lagi mangsa tragedi terbabit dilaporkan hilang atau belum ditemui, selaras Arahan 20 Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Bagaimanapun, katanya, kerja teknikal di lokasi tanah runtuh itu akan diteruskan beberapa agensi berkaitan, antaranya Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS).
“Saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi terbabit, termasuk rakan media yang bertungkus-lumus sepanjang misi SAR ini. Saya sangat menghargai setiap pengorbanan dan kerjasama anda.
“Inilah satu-satunya operasi yang setiap agensi memainkan peranan sesuai Arahan 20 MKN dan tiada pertindanan tugas sepanjang misi, sekali gus menjadi rujukan bagi apa-apa kerjasama pengurusan bencana yang mungkin berlaku pada masa depan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
BH melaporkan, mayat mangsa terakhir tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di sini, iaitu seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun ditemui semalam.
Difahamkan, mayat itu ditemui pasukan SAR di Sektor A (Hill View) yang menjadi tumpuan utama pencarian pada jam 4.53 petang semalam.
Berdasarkan maklumat, 19 daripada 30 mayat mangsa sebelum ini ditemukan di Sektor A (Hill View), manakala 10 di Sektor C (Riverside) dan seorang di Sekstor B (Farm View).
Sementara itu, Acryl Sani mengakui faktor cuaca menjadi satu-satunya cabaran dihadapi petugas misi SAR berkenaan, menyebabkan petugas berdepan risiko tinggi ketika bertugas.
Beliau juga mengakui tidak berdepan kesukaran menggerakkan sumber tenaga berikutan kerjasama erat pelbagai agensi, selain keperluan jentera turut mencukupi.
“Berdasarkan statistik, kita gunakan hampir 12 jentera berat daripada pihak swasta dan pelbagai agensi. Tuah masih di pihak kita.
“Justeru, kita perlu bersujud syukur dan membaca doa selamat kerana semua petugas SAR terselamat sepanjang menjalankan misi.
“Terima kasih juga kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang teruja membantu, tetapi kali ini kami tidak dapat gunakan khidmat anda kerana risiko di lokasi kejadian, selain tidak mahu pihak tidak berkelengkapan atau berkemahiran menyertai misi ini,” katanya lapor BH Online.
Ditanya sama ada pihaknya menerima sebarang aduan berhubung kutipan sumbangan palsu membabitkan tragedi terbabit, Acryl Sani bagaimanapun menjelaskan keadaan sedemikian tidak berlaku, setakat ini.
Beliau antara lain meminta pihak berkaitan segera menyemak semula garis panduan aktiviti riadah di lokasi berisiko, termasuk di kawasan cerun dan berhampiran sungai bagi mengelak kejadian sama berulang.
Jumaat lalu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengeluarkan senarai 30 mangsa, termasuk 12 kanak-kanak, masing-masing enam perempuan berusia satu hingga 12 tahun yang maut akibat kejadian tanah runtuh, sekitar jam 2.30 pagi, 16 Disember lalu.
Kanak-kanak lelaki yang terkorban adalah Daniel Kor Yen, 5; Jonas Lai Ze Kai, 2; Tong Kai En, 9; Wong Zi Hang,1; Tai Jing Kai, 7, dan Zech Loh Qi Yi, 7.
Enam lagi kanak-kanak perempuan adalah Eng Huai Yi, 12; Ka Sin Ya Vanya, 6; Giselle Lai Yu Xi, 6; Wong Hao Yee, 6; Tai Jing Rou, 4, dan Ng Yee Tong, 11.
Enam lelaki dewasa yang dikenal pasti adalah Eng Choon Wen, 43; Ka Kok Boon, 43; Lai Chee Sam, 33; Wong Kim Yap, 34; Tai Chang Lin, 35, dan Ng Chay Diok, 67.
Baki 12 lagi mangsa wanita dewasa adalah Fong Choy Kee, 43; Chin Su King, 36; Lai See Tin, 33; Lai Lee Koon, 44; Gain Choo Yin, 35; Yu Siew Pay, 34; Lim Wei Xin, 36; Hong Mei Jing, 38; Nursling Azwani Kamaruzaman, 31; Lai Lee Yin, 37; Lam Sook Man, 37 dan Liu Pei Si, 44.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.