PN bukan gabungan parti politik ekstremis – Dominic Lau

0
191

PRESIDEN GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai mendakwa parti ekstremis yang sebenar adalah UMNO, bukannya Perikatan Nasional (PN) seperti kenyataan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng.

“Selepas bertahun-tahun Lim Guan Eng dan bapanya, Lim Kit Siang mencaci UMNO, kini bolehkah DAP menafikannya?” katanya yang juga Timbalan Pengerusi PN, dalam satu kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.

Terdahulu, Guan Eng dilaporkan mendakwa, PN mengambil sikap perkauman dan ekstremis berdasarkan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang kesal dengan peratusan keluar mengundi orang Islam dalam PRU-15.

Kata bekas Menteri Kewangan itu, bukan Islam bukannya memusuhi Islam, sebaliknya penentangan terhadap PAS disebabkan parti itu yang dilihatnya terus mengancam dan mengurangkan hak asasi termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta campur tangan dalam gaya hidup orang bukan Islam.

Pada masa sama Dominic turut menempelak Guan Eng yang menuduh GERAKAN sebagai ‘Boneka Rakan Sejenayah Pas’, sedangkan katanya, DAP yang banyak bekerjasama dengan Pas, iaitu sejak 1999 dengan kali pertama digandingkan dalam Barisan Alternatif.

“Pada Pilihan Raya Umum ke-12, DAP sekali lagi bersama dengan parti Pas dan PKR untuk menubuhkan Pakatan Rakyat bagi bekerjasama dalam politik selama tiga tahun. Adakah Lim Guan Eng lupa bahawa DAP pernah bekerjasama dengan Pas?

“Sekurang-kurangnya GERAKAN tidak sombong, sebaliknya hormat dengan Pas. Sebelum DAP bekerjasama dengan Pas, pengaruh politik Pas pada asalnya hanya di Pantai Timur.

“Selepas bekerjasama dengan PN, Pas berkembang hingga ke Perak, Kedah dan Selangor,” katanya yang secara sinis, turut meluahkan rasa malu kerana GERAKAN tidak banyak memberi bantuan kepada Pas berbanding DAP.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here