Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Operasi cari mangsa terakhir guna 9 jengkau, 10 anjing pengesan K9 -

Operasi cari mangsa terakhir guna 9 jengkau, 10 anjing pengesan K9

PASUKAN mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan khidmat 10 anjing pengesan K9, termasuk sembilan jengkaut dalam usaha menjejak satu lagi mangsa terakhir tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, di Gohtong Jaya, Batang Kali, hari ini.

Semalam, walaupun cuaca dilaporkan baik namun operasi berkenaan ditangguhkan sementara pada 11 malam atas faktor keselamatan pasukan mencari.

Pengarah Bomba Selangor Norazam Khamis, berkata operasi hari ini melibatkan 53 anggota daripada bomba, tentera, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).

“Selain itu, 10 ekor anjing pengesan K9 dan sembilan jengkaut digunakan hari ini dengan fokus pencarian di sektor A,” katanya, lapor Bernama.

Hari ini, pasukan mencari akan giat mengesan kanak-kanak lelaki malang itu, yang juga seorang daripada 92 angka rasmi bilangan mangsa disahkan terlibat dalam kejadian runtuhan pada Jumaat lalu.

Dalam kejadian tersebut, 61 individu terselamat, manakala 30 nyawa dilaporkan terkorban setakat ini dan kesemua mereka juga sudah dikenal pasti dan dituntut waris masing-masing.

Daripada jumlah mangsa terkorban itu, enam adalah lelaki dewasa, 12 wanita dewasa dan 12 kanak-kanak masing-masing enam lelaki dan enam perempuan.

Anggota penyelamat juga mula memasuki lokasi pencarian secara berkumpulan diketuai pasukan bomba diikuti polis, tentera dan Angkatan Pertahanan Awam serta pasukan SMART.