Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
[VIDEO] Lelaki pakai telekung curi beg jemaah diberkas -

[VIDEO] Lelaki pakai telekung curi beg jemaah diberkas

SUSPEK yang tular mengenakan telekung sebelum mencuri barang jemaah wanita ketika solat di masjid sekitar Seksyen 18, di sini diberkas polis, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, tangkapan ke atas suspek lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an itu susulan laporan dibuat oleh mangsa.

Menurutnya, pada Selasa lalu, polis menerima dua laporan polis mengenai kes kecurian barangan milik jemaah wanita ketika menunaikan solat di masjid sekitar kawasan Seksyen 18, pada 20 Disember lalu.

“Kejadian pertama dilaporkan pada 3.41 petang oleh seorang wanita berusia 60 tahun yang menunaikan solat subuh di Masjid Al-Azahariah, Seksyen 18, Shah Alam.

“Sementara, kes kedua dilaporkan pada 10.47 malam oleh wanita berusia 58 tahun yang menunaikan solat isyak di Masjid Al-Hidayah, Seksyen 18. Kerugian bagi kedua-dua kejadian dianggarkan RM3,500,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

Mohd Iqbal berkata, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedua-dua tempat kejadian mendapati suspek adalah individu sama.

Katanya, suspek menggunakan modus operandi sama iaitu memakai telekung masuk ke ruangan jemaah wanita seterusnya mengambil barang berharga milik jemaah yang sedang solat.

“Kira-kira 12.05 tengah malam (23 Disember) polis berjaya menangkap suspek yang berasal dari Padang Jawa di kawasan Seksyen 18.

“Hasil pemeriksaan terhadap suspek, polis menemui dan merampas dua buah telefon bimbit yang dicuri semasa kejadian. Suspek ditangkap untuk siasatan lanjut,” katanya.

Katanya, semakan ke atas rekod jenayah lampau mendapati suspek mempunyai satu rekod kes penyalahgunaan dadah dan empat rekod kes jenayah.

“Suspek ditahan reman selama empat hari dari bermula hari ini sehingga 26 Disember untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.