SERAMAI 33 keluarga mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Pulai Chondong mendapat perhatian Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal apabila hadir memberi bantuan bersama sukarelawan Pusat Khidmat Parlimen-DUN Machang dan Khidmat Malaysia Machang.
Wan Ahmad Fayhsal berkata 33 keluarga itu adalah mangsa banjir yang tinggal di Sri Aman, Kampung Bukit, Kampung Bilal Talib dan Kampung Laha.
Katanya, pihak yang bertanggungjawab akan terus pantau perubahan cuaca dan taburan hujan untuk hadapi gelombang kedua banjir.
“Alhamdulillah air banjir sudah surut dan ramai telah dan akan pulang ke rumah esok cuma bekalan air bersih belum sepenuhnya dibekalkan jadi ianya menyukarkan keluarga mereka untuk membersihkan rumah yang terkesan akibat banjir lumpur.
“Terima kasih Jabatan Kebajikan Masyarakat Machang kerana sudi melanjutkan operasi PPS bagi keluarga yang terkesan untuk beberapa hari lagi.
“Terima kasih semua sukarelawan yang membantu mangsa banjir Machang. Terima kasih YAB Perdana Menteri atas pengumuman bantuan banjir untuk negeri Kelantan dan Terengganu,” katanya, lapor Berita Bersatu.
Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal berkata sebanyak tiga peratus baki taburan hujan yang masih tinggal seperti dilaporkan oleh Pejabat Meteorologi Kelantan kepada Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) Machang.
Jelasnya, ini bermakna fenomena banjir gelombang pertama sudah berakhir dan masih perlu bersedia untuk gelombang seterusnya.
“Kejadian banjir gelombang pertama yang luar biasa beberapa hari sebelum ini adalah kerana taburan hujan yang luar biasa turun di Kelantan, Terengganu. Malah ianya turun dengan cukup lebat berturut-turut selama 3 hari tanpa henti.
“Hari ini semua PPS di Machang telah ditutup buar sementara waktu kerana air sudah surut dan semua mangsa sudah boleh pulang ke rumah masing-masing kecuali mangsa banjir di Sri Aman yang perlukan sedikit masa lagi untuk mencuci rumah.
“Semua perkara berbangkit yang dibincangkan dalam Mesyuarat Ops Banjir Parlimen-DUN Machang telah saya sampaikan kepada PKOB seperti contoh PPS Sekolah Pei Hwa yang turut terkesan dengan banjir akan dipertimbangkan semula untuk lokasi lain yang lebih sesuai dan selamat untuk mangsa banjir Sg. Hala dan Padang Selising.
“Terima kasih En. Nik Mohd Hasanudin, Pegawai Daerah Machang dan semua pegawai Pejabat Daerah atas bantuan yang diberikan,” katanya.