Anwar perlu saman media Eropah gelarnya homoseksual – Hamzah

0
281

Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin meminta Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaman media Itali, yang menerbitkan laporan menyatakan Perdana Menteri Malaysia adalah pengamal homoseksual sepenuhnya.

Hamzah yang juga ahli Parlimen Larut berkata ia jelas adalah satu penghinaan kepada Anwar, dan Perdana Menteri mesti mengambil tindakan undang-undang terhadap media, agenzianova, terbabit.

Beliau berkata demikian ketika membahasakan usul undi percaya terhadap Anwar sebagai Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini (19 Disember 2022).

Ucapan beliau pada awalnya diganggu oleh Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer – yang masih membawa perangai pembangkang di Dewan Rakyat walaupun kini menjadi kerajaan.

Rayer bangun meminta Hamzah menarik balik kenyataan itu, namun bekas Menteri Dalam Negeri Kerajaan Perikatan Nasional itu menjelaskan beliau memetik laporan media Itali yang membuat laporan itu.

Hamzah berkata Anwar sebelum ini telah disabitkan mengenai perkara itu (homosek), merujuk kepada sabitan kesalahan liwat sebelum ini, tetapi mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong.

“Pada 24 November 2022 sebaik sahaja YAB Tambun mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri sebuah agensi berita dari Itali menerbitkan artikel bertajuk ‘“first full-blown homosexual elected prime minister in an Islamic country’.

“Laporan ini menghina YAB Tambun. Dia (laporan media itu) menghina YAB Perdana Menteri. Tindakan tegas harus kita ambil. Kerajaan bertanggungjawab untuk memaklumkan kepada seluruh dunia bahawa YAB Tambun sudah pun diberikan pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“YAB Tambun wajib mengambil tindakan terhadap agensi luar. Jangan hanya mengambil tindakan terhadap mereka dalam negara sahaja. Kita tidak mahu dilihat sebagai jaguh kampung semata-mata.

“Betul… betul… dahulu YAB Tambun telah pun dihukum oleh mahkamah kerana kesalahan tersebut… tetapi sekarang sudah bebas kerana telah diberikan pengampunan,” kata Hamzah memetik laporan Agenda Daily.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan PH-UMNO tidak membiarkan dunia terus percaya bahawa Perdana Menteri Malaysia sekarang ini adalah pengamal homoseksual tegar.

“Jangan dibiarkan sehingga dunia percaya seolah-oleh Perdana Menteri Malaysia pengamal homoseksual tegar… ini cerita lama… kita harus bangkang… Saya minta YAB (Anwar) saman agensi agenzianova.com.

Untuk rekod, Anwar sebelum ini menghadapi dua tuduhan meliwat pembantunya Azizan Abu Bakar dan Saiful Bukhari Azlan iaitu pada 1998 dan 2008. Namun, kali pertama Anwar dipenjarakan adalah atas kesalahan rasuah dan salah guna kuasa.

Bagaimanapun, pada 2015 Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhir Anwar untuk mengetepikan hukuman penjara lima tahun yang dikenakan Mahkamah Rayuan terhadap beliau kerana meliwat Saiful Bukhari.

Pada 2018, ketika Pakatan Harapan menjadi kerajaan dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad, Anwar dibebaskan dengan pengampunan Yang di-Pertuan Agong ketika itu Tengku Muhammad Faris Petra ibni Sultan lsmail Petra.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here