JENAZAH seorang warga emas terkandas hampir 14 jam di kediamannya di Kampung Gaung, di sini yang dinaiki air sejak awal pagi tadi.
Difahamkan Che Gayah Mohamad, 81, meninggal dunia kira-kira jam 8 malam tadi akibat sakit tua selepas terlantar hampir enam bulan.
Cucunya, Nik Mohd Fhaiez Mohd Khalil, 30, berkata jenazah sepatutnya dikebumikan malam tadi tetapi disebabkan proses dokumentasi mendapatkan permit kubur tidak lengkap, ia terpaksa ditunda pagi ini.
“Sekitar jam 3 pagi air banjir melimpah ke kawasan rumah sehingga hampir masuk ke dalam rumah, kami semua terkandas tidak dapat keluar.
“Kami cuba menghubungi bilik gerakan banjir tetapi tidak berjaya dan terus menunggu sekiranya ada anggota penyelamat yang boleh masuk ke kawasan ini.
“Namun sehingga jam 8 pagi masih belum ada bantuan sampai untuk membawa keluar jenazah nenek ke Hospital Besut bagi mendapatkan pengesahan kematian,” katanya seperti dilaporkan BH Online.
Katanya, mereka juga terpaksa meminta bantuan melalui media sosial supaya dapat keluar dari kawasan rumah secepat mungkin.
“Syukur kira-kira jam 10 pagi ada bot persendirian yang berjaya masuk ke kawasan ini dan membantu kami membawa keluar jenazah ke jalan utama.
“Jenazah nenek dijangka dikebumikan petang ini di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gaung yang terletak kawasan berbukit,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.