Tanah runtuh: Peluang 12 mangsa ditemukan hidup tipis

0
241
Anggota pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia menggunakan perkhidmatan anjing pengesan untuk mencari dan menyelamat mangsa-mangsa yang tertimbus di lokasi tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father's Organic Farm, Batang Kali. - Foto Bernama

PENGARAH Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis memaklumkan, peluang untuk 12 mangsa ditemukan dalam keadaan selamat disifatkan amat tipis.

Jelas beliau, ini memandangkan faktor runtuhan dan jangka masa kejadian yang sudah memasuki hari kedua.

“Secara kasarnya peluang untuk mangsa hidup amat tipis. Runtuhan melibatkan badan mangsa ditimbus dengan tanah sekali gus mengakibatkan mangsa sesak nafas berdasarkan keadaan dan lokasi kejadian.

“Melainkan sekiranya mangsa di kawasan timbunan tanah yang mana terdapat timbunan kayu dan batu, risiko mangsa selamat mungkin ada kerana mempunyai ruang udara,” katanya, lapor Sinar Harian.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di lokasi kejadian tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm, Gohtong Jaya di Hulu Selangor, hari ini.