Permulaan permerintahan ‘ala diktator’, Mas Ermieyati kecam MoU Kerajaan Perpaduan

0
179

Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin mengecam perjanjian persefahaman (MoU) kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menyifatkannya sebagai satu permulaan kepada pemerintahan ‘ala diktator’.

Beliau menyatakan mengenai syarat dalam MoU itu iaitu semua Ahli Parlimen wajib menyokong perdana menteri dalam mana-mana usul kepercayaan atau rang undang-undang bekalan atau mana-mana usul berkaitan kepercayaan kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN).

Katanya, satu lagi syarat pula menyatakan sekiranya mana-mana ahli parlimen kerajaan yang gagal mengundi sebagaimana yang telah diarah, mereka akan dianggap telah mengosongkan kerusi Parlimen mereka berdasarkan Artikel 49A Perlembagaan Persekutuan.

“Artikel 49A tidak boleh menyebabkan mana-mana kerusi dikosongkan atas alasan cara Ahli Parlimen mengundi. Tidak ada apa-apa perkara seperti itu di dalam Artikel 49A. Ianya hanya merangkumi situasi di mana seseorang Ahli Parlimen tersebut meletakkan jawatan atau berhenti menjadi ahli partinya.

“Perjanjian ini adalah haram, tidak berpelembagaan, merbahaya dan tidak boleh diperkuatkuasakan,” tegas beliau memetik laporan FMT.

Beliau juga berkata, Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-undang Perlembagaan mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti pada 18 Julai pernah menyatakan mana-mana Ahli Parlimen yang tidak mengundi mengikut arahan parti tidak akan hilang kerusinya di bawah Artikel 49A.

Beliau berkata Anwar dan pemimpin parti dalam kerajaan memilih untuk mengabaikan perkara itu “dalam satu tindakan terdesak untuk menakutkan dan mengugut Ahli Parlimen mereka sendiri untuk menurut kehendak parti”.

“Anwar dan parti-parti kerajaan tidak boleh bergantung kepada Artikel 49A untuk ugut Ahli Parlimen untuk mengundi bagi menyokong Anwar sebagai perdana menteri pada Disember 19 atau selepas itu dalam mana-mana rang undang-undang atau perkara yang berkaitan dengan kepercayaan,” katanya.

“Ugutan serta intimidasi yang dibuat melalui perjanjian MoU terhadap Ahli Parlimen dari parti-parti kerajaan ini adalah satu permulaan kepada pemerintahan ala diktator,” katanya.

Tambahnya, Perlembagaan Persekutuan memberi kebebasan mutlak kepada mana-mana Ahli Parlimen yang telah dipilih untuk mengundi sebagaimana dirasakan betul demi kepentingan pengundi.

Selain Anwar, MoU semalam itu turut ditandatangani Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Abang Johari Openg, Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji Noor dan Presiden Warisan Shafie Apdal. Ia juga ditandatangani oleh setiausaha agung parti masing-masing.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here