Jumlah mangsa banjir di Pahang, Terengganu, Johor dan Kelantan tidak berubah seperti malam semalam pada sebelah pagi ini manakala di Perak mencatatkan penurunan manakala di Perak mencatatkan penurunan.
Di PAHANG, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang melaporkan situasi banjir tidak berubah dengan 141 mangsa daripada 36 keluarga masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sinar Mutiara di Sungai Miang, Pekan.
Sungai Keratong di Rompin masih merekodkan melebihi paras bahaya manakala Sungai Triang di Bera dan Sungai Pahang di Paloh Hinai, Pekan berada di paras amaran.
Jabatan Meteorologi meramalkan, keadaan mendung di Pekan manakala ribut petir dijangka berlaku pada sebelah petang.
Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir kekal 37 orang melibatkan 10 keluarga seperti malam semalam.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam kenyataan memaklumkan SK Atas Tol di Kuala Terengganu menjadi satu-satunya PPS yang beroperasi ketika ini.
Di JOHOR, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS di Johor kekal 91 orang sebagaimana malam, semalam.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) melalui satu kenyataan memaklumkan dua daerah masih terjejas banjir iaitu daerah Segamat dan Mersing.
Menurut JPBN, empat PPS yang masih dibuka iaitu tiga di Segamat melibatkan 21 keluarga dan sebuah PPS di Mersing menempatkan tiga keluarga.
PPS di Segamat adalah Balai Raya Kampung (Kg) Batu Badak, Balai Raya Kg Kuala Paya dan Dewan Komuniti Kampung Tasek manakala PPS di Mersing, Sekolah Agama (SA) Pangkalan Batu.
“Tiga lokasi terjejas banjir di Segamat adalah di Kg Seberang Batu Badak, Kg Batu 5, Kg Kuala Paya dan satu lokasi di Mersing melibatkan Kg Lubuk,” menurut kenyataan itu.
Menurut data Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), bacaan paras air Sungai Muar di Kg Awat, Segamat masih melepasi paras amaran dengan bacaan 19.83 meter (m) dan Sungai Muar di Buloh Kasap, berada pada paras amaran iaitu 9.04m.
Di KELANTAN, seramai 2,019 mangsa banjir daripada 637 keluarga di jajahan Pasir Mas ditempatkan di tujuh PPS pada pagi ini, jumlah yang sama direkodkan malam tadi.
Sekretariat JPBN Kelantan memaklumkan 712 mangsa berlindung di SK Tok Deh, SK Kedai Tanjong (47), SK Gual Periok (544), Masjid Mukim Padang Licin (69), PPS Putat Tujoh (157), SK Kubang Kual (256) dan SK Sri Kiambang (234).
Sementara di PERAK, jumlah mangsa banjir menurun kepada 89 orang daripada 21 keluarga berbanding 92 daripada 22 keluarga setakat pagi ini.
Sekretariat JPBN memaklumkan kesemua mangsa berlindung di tiga PPS yang masih dibuka iaitu SMK Abd Rahman Talib (SMART) di daerah Hilir Perak; SK Padang Serai daerah Manjung dan Dewan Orang Ramai Kg Tebing Tinggi di daerah Kampar. – Bernama
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.