Ahli Parlimen tolak usul kerajaan dianggap letak jawatan – MoU

0
241

PAKATAN Harapan (PH) yang turut dianggotai DAP, mengukuhkan cengkaman ke atas semua ahli Parlimen (MP) yang menyokong pembentukan Kerajaan Persekutuan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan mewajibkan mereka memberi sokongan dalam setiap usul yang dibawa di Dewan Rakyat.

Kegagalan MP terbabit memberi sokongan atau undi kepada Anwar atau usul dibawa kerajaan di Parlimen sehingga memberi kesan kepada keabsahan Kerajaan Pusat, dikira sebagai pelanggaran yang dianggap sebagai perletakan jawatan atau pemberhentian daripada menjadi ahli Parlimen.

Langkah diambil itu sekali gus dilihat sebagai usaha kerajaan PH-UMNO-DAP untuk mengekalkan Anwar sebagai Perdana Menteri.

Syarat ‘keras’ itu termaktub dalam perjanjian persefahaman kerjasama membentuk kerajaan gabungan PH dengan Barisan Nasional (BN); Gabungan Parti Sarawak (GPS); Gabungan Rakyat Sabah (GRS); dan Parti Warisan (WARISAN).

Majlis menandatangani perjanjian itu diadakan hari ini (16 Disember 2022) melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim; Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi GPS Tan Sri Abang Johari Openg; Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor; dan Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal.

Mengikut syarat yang ditetapkan dalam Kluasa 4 iaitu Usul Percaya dan Rang Undang-undang Perbekalan:

Setiap parti dan pihak berkenaan hendaklah mengundi untuk menyokong Perdana Menteri dalam usul-usul berkait dengan usul percaya, perbekalan dan/atau apa-apa usul berbentuk prosedur yang mempunyai kesan kepada keabsahan Kerajaan Persekutuan mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Setiap parti dan pihak-pihak hendaklah bertanggungjawab untuk menguruskan secara dalaman di dalam parti mereka bagi memastikan sokongan Parlimen untuk mengekalkan Kerajaan Perpaduan Malaysia dalam sebarang undian yang membawa kesan kepada keabsahan Kerajaan Perpaduan Malaysia mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Setiap parti dan pihak-pihak hendaklah memastikan bahawa setiap Ahli Parlimen mereka mengundi menurut klausa 4 di atas.

Kegagalan, keengganan atau kecuaian daripada berbuat demikian hendaklah diambil kira sebagai pelanggaran tanggungjawab Ahli Parlimen secara individu kepada parti itu, yang dianggap sebagai perletakkan jawatan dan/atau pemberhentian daripada menjadi Ahli Parlimen dan bahawa kerusi beliau dikosongkan dalam kerangka maksud Artikel 49A(1) Perlembagaan Persekutuan.

Parti Ahli Parlimen tersebut hendaklah mengeluarkan notis kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat atas pengosongan tersebut menurut Artikel 49A(1) Perlembagaan Persekutuan untuk memberi notis kepada Suruhanjaya Pilihanraya untuk mengadakan pilihan raya kecil.

Kerajaan Perpaduan Malaysia dalam Perjanjian Persefahaman Kerjasama ini adalah berasaskan parti politik. Ini adalah penzahiran kepada langkah menguatkuasakan undang-undang antilompat parti melalui akta-akta secara kumulatif.

Ia melibatkan Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 yang telah diluluskan, diwartakan dan dikuatkuasakan yang meminda Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan untuk menyekat kebebasan berhimpun ahli Dewan Rakyat; dan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan yang baharu berkenaan larangan lompat parti;

Langkah Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf parti politik sebagai teras dalam sistem demokrasi berparlimen Malaysia. Perkara 43(2)(a) berkenaan dengan pelantikan Perdana Menteri, Perkara 43(2)(b) berkenaan dengan pelantikan ahli Jemaah Menteri dan Perkara 43A berkenaan dengan pelantikan Timbalan Menteri perlu dibaca sejajar dan konsisten kepada Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022.

Parti-Parti dan pihak-pihak kepada Perjanjian Persefahaman Kerjasama ini adalah asas kepada penubuhan Kerajaan Perpaduan Malaysia ini. Parti-Parti dan pihak-pihak kepada Perjanjian Persefahaman Kerjasama ini mempunyai prerogatif tunggal dalam memastikan ahli Dewan Rakyat masing-masing mengundi segala usul, terutamanya berkenaan kepercayaan dan bekalan Kerajaan Perpaduan Malaysia ini berdasarkan arahan Parti masing-masing.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here