Kalau anak tirikan Kedah, Anwar koyak – Sanusi respon saman PM

0
213

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yakin saman difailkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadapnya tidak akan menjadi penyebab kepada kerajaan Kedah dipinggirkan oleh kerajaan Persekutuan.

Muhammad Sanusi berkata, tindakan Anwar mengemukakan saman terhadapnya adalah urusan peribadi kedua-dua mereka dan langsung tidak ada kaitan dengan hubungan antara kerajaan negeri serta Persekutuan.

“Kes saman itu melibatkan Anwar Ibrahim dengan Sanusi. Saya tidak meletakkan itu sebagai satu asbab yang menjadi punca kepada ‘pemisahan’ antara negeri dan Persekutuan.

“Semua itu tak perlu kerana apa yang berlaku adalah antara saya dengan Anwar. Kalau beliau ambil perkara itu untuk menganak tirikan Kedah, saya rasa beliau koyaklah.

“Panas tak apa, jangan koyak,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Anugerah Sastera Darul Aman (ASDA) di Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) di Alor Setar.

Kelmarin, Anwar memfailkan saman terhadap Muhammad Sanusi menerusi Tetuan SN Nair & Partners di Mahkamah Tinggi Alor Setar berhubung ucapan berbaur fitnah yang didakwa dilafazkan dalam kempen ceramah Jelajah PN Best di Tambun, Perak.

Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat menyatakan kesediaan untuk berdepan Anwar di mahkamah tanpa menunjukkan sebarang keinginan untuk meminta maaf.

Dalam pada itu, ditanya pandangannya mengenai isu empat Ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Muhammad Sanusi berkata, semua pihak harus menunggu keputusan muktamad mengenai perkara tersebut.

“Saya pun tak tahu siapa yang akan buat keputusan kerana ada yang kata jawatan ahli Parlimen mereka itu gugur dan ada yang kata tidak. Saya tak tahu siapa nak buat keputusan itu, mungkin mahkamahlah agaknya.

“Kerana mereka melompat ‘pergi’ kepada kerajaan dosanya kurang tetapi kalau lompat ke pembangkang, dosanya mungkin besar. Sebab kita berada dalam majlis sastera, macam itulah jawapannya,” katanya lapor Warta Rakyat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here