Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Usul pengeluaran KWSP bersasar dalam manifesto PN ke Parlimen -

Usul pengeluaran KWSP bersasar dalam manifesto PN ke Parlimen

MEMBENARKAN suri rumah dan ibu tunggal yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dan tidak aktif lagi mencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengeluarkan semua simpanan, adalah antara usul yang diteliti oleh Bersatu, untuk dibawa ke Dewan Rakyat.

Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata kebenaran pengeluaran itu akan membantu golongan sasaran menyara kelangsungan hidup mereka yang semakin terhimpit di samping dapat membantu ekonomi keluarga dan kemajuan anak-anak mereka.

Selain itu katanya, turut dicadang dibenar mengeluarkan simpanan mereka ialah bekas pekerja swasta yang tidak aktif lagi membuat caruman KWSP.

“Bekas pekerja swasta yang tidak lagi mencarum kerana diberhentikan kerja, berhenti secara sukarela, baharu berhenti dan tidak mempunyai pekerjaan tetap serta sukar untuk mendapat pekerjaan disebabkan faktor usia dan kesihatan, dibenar mengeluarkan kesemua simpanan persaraan bagi meneruskan kelangsungan hidup dan memperbaiki ekonomi yang semakin meruncing,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas menerima empat usul tuntutan Pengeluaran KWSP 2.0 bersasar daripada Pengerusi Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Selangor (PGIR), Azmi Mohd Tahir, malam tadi (13 Disember 2022).

Hadir sama Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin; Ahli Parlimen Sabak Bernam, Kalam Salan; ADUN Bemban, Dr Mohd Yadzil Yaakub; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi; Ketua Srikandi Muda Malaysia, Nurul Fadzilah Kamaluddin dan mantan Ketua Setiausaha Sulit PM-8, Datuk Dr Marzuki Mohamad.

Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata pencarum yang masih aktif mencarum serta berusia 54 tahun dan ke bawah yang mempunyai simpanan dalam Akaun 1 melebihi RM20,000 dibenar mengeluarkan 30 peratus daripada Akaun 1 mengikut keperluan.

“Ia juga bertujuan bagi meneruskan kelangsungan hidup untuk mengatasi masalah ekonomi yang tidak menentu serta peningkatan harga barang yang berterusan sehingga kini pihak kerajaan masih gagal menangani dengan baik.

“Pencarum yang masih aktif mencarum yang mempunyai baki simpanan Akaun 1 RM19,999.99 dan ke bawah dibenar mengeluarkan keseluruhan simpanan dan meninggalkan baki sebanyak RM200 di dalam Akaun 1 dan 2,” katanya, lapor Agenda Daily.

Wan Saiful berkata Bersatu akan meneliti usul tuntutan ini untuk dicadangkan di Dewan Rakyat.