MAHKAMAH Persekutuan, hari ini membenarkan rayuan supaya kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh ibu warga Malaysia, yang berkahwin dengan warga asing, berhak mendapat kerakyatan Malaysia.
Rayuan itu dibuat oleh Persatuan Sokongan Keluarga dan Kebajikan Selangor & Kuala Lumpur (Family Frontiers) dan enam wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing, selain seorang wanita kelahiran luar negara, yang ibunya adalah warga Malaysia.
Panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, yang bersidang bersama dua Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Mary Lim Thiam Suan membuat keputusan itu secara sebulat suara.
Abang Iskandar berkata, mahkamah juga menolak tiga persoalan dibangkitkan oleh peguam mewakili kerajaan selaku responden dalam kes itu, namun mahkamah akan mendengar lima persoalan daripada peguam pemohon.
Ia selepas Lam Kiat dan Thiam Suan senada menegaskan pihak responden tidak sepatutnya membangkitkan persoalan, sebaliknya ia menjadi tugas pemohon.
Pemohon dalam kes itu diwakili peguam, Datuk Dr Gurdial Singh Nijar dan Datuk Dr Cyrus Das, manakala responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan (SFC), Liew Horng Bin dan Ahmad Hanir Hambaly.
Pada 5 Ogos lalu, Mahkamah Rayuan menetapkan, kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing, tidak berhak mendapat kerakyatan Malaysia dari segi undang-undang.
Panel tiga hakim, diketuai Datuk Kamaludin Md Said membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan kerajaan, Kementerian Dalam Negeri dan ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Pada 9 September 2021, Family Frontiers dan enam wanita Malaysia, yang berkahwin dengan warga asing dengan anak kelahiran luar negara, berjaya dalam tuntutan mereka di Mahkamah Tinggi terhadap ketiga-tiga perayu.
Bagi kes kedua, Mahisha Sulaiha Abdul Majeed, yang dilahirkan d India oleh ibu rakyat Malaysia dan bapa warga India, merayu terhadap penolakan Mahkamah Tinggi pada 19 Ogos 2020, terhadap samannya yang difailkan bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa dia berhak mendapat kewarganegaraan Malaysia.
Terdahulu, Horng Bin membangkitkan tiga persoalan utama, termasuk sama ada semua peruntukan di bawah Bahagian II Perlembagaan, peruntukan berkaitan kewarganegaraan dan pembahagian kuasa antara badan eksekutif, perundangan serta kehakiman dengan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua dan Majlis Raja-Raja adalah struktur asas Perlembagaan.
Persoalan itu juga membabitkan sama ada peruntukan itu boleh dipinda oleh Parlimen walaupun bagi tujuan penambahbaikan.
“Soalan kedua, sama ada penambahbaikan terhadap peruntukan Perlembagaan yang bersifat struktur asas boleh dicapai oleh badan kehakiman melalui proses pentafsiran peruntukan Perlembagaan walaupun perkara sama tidak boleh dipinda oleh Parlimen.
“Akhir sekali, sama ada usaha penambahbaikan terhadap peruntukan Perlembagaan yang bersifat struktur asas oleh badan kehakiman, bercanggah dengan pembahagian kuasa antara badan eksekutif, perundangan dan kehakiman dengan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua, bertentangan dengan struktur asas,” katanya memetik laporan BH Online.
Sementara itu, peguam pemohon akan membangkitkan lima persoalan, termasuk sama ada seseorang yang dilahirkan di luar Malaysia oleh ibu warga Malaysia adalah warga Malaysia, melalui kuat kuasa undang-undang menurut Perkara 14(1)(b), yang dibaca bersama Bahagian II Seksyen 1(b) Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan.
Selain itu, sama ada istilah ‘bapa’ dalam Bahagian II Seksyen 1(b) Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 14 mengenai kewarganegaraan harus dihentikan dibaca secara literal dan diskriminasi.
“Ia selepas pindaan Perkara 8(2) dikuat kuasa mengikut Perlembagaan Persekutuan pada September 2001, yang melarang diskriminasi jantina.
“Persoalan lain ialah sama ada Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan patut ditafsirkan untuk melarang diskriminasi jantina dalam perkara berkaitan kewarganegaraan.
“Ia memandangkan Perkara 8(5) tidak juga dipinda untuk mengecualikan ‘kewarganegaraan’ sebagai subjek yang tidak termasuk di bawah Perkara 8 pada masa itu kerana Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk secara amnya melarang diskriminasi jantina,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.